
SRI AMAN: Pasukan bomba membantu membersihkan tumpahan minyak susulan kemalangan sebuah kereta di Jalan Pan Borneo Sri Aman-Serian dekat Melugu Kuari A, petang tadi.
Penguasa Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman telah menerima panggilan kecemasan tersebut sekitar 3.10 petang.
Justeru, seramai lapan anggota BBP Sri Aman yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan 2, Elijah Tiyit telah bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.
“Setibanya pko di lokasi kejadian didapati benar satu tumpahan minyak sepanjang enam meter di atas permukaan Jalan Pan Borneo Sri Aman- Serian dekat Melugu Kuari A akibat kemalangan kenderaan.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menggunakan pakaian perlindungan diri (PPE) yang lengkap terus membuat penilaian awal dan seterusnya bertindak menggunakan 1 salur bantu mula jentera untuk membuat pembersihan (flushing) pada tumpahan minyak tersebut sehingga selesai,” katanya.
Muhammad Rais berkata usaha membersih tumpahan minyak itu mengambil masa hampir satu jam.
“Operasi terkawal sekitar 4.12 petang dan operasi ditamatkan pada 4.33 petang setelah selesai memastikan keadaan lalu lintas boleh dilalui,” katanya.
Oleh Adi Safarman