Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Legenda Maradona dan Messi terus memukau penyokong Argentina
  • SUKAN

Legenda Maradona dan Messi terus memukau penyokong Argentina

Utusan Sarawak 4 hours ago

Penyokong Argentina meraikan detik bersejarah Piala Dunia yang dicipta oleh dua legenda bola sepak negara itu, Diego Maradona dan Lionel Messi. – Foto AFP

BUENOS AIRES: Penyokong bola sepak Argentina yang memenuhi bar dan zon penyokong di Buenos Aires pada awal pagi tadi (waktu Malaysia) berpeluang meraikan detik-detik ikonik Piala Dunia yang dihasilkan oleh dua watak yang sangat berbeza — Diego Maradona dan Lionel Messi.

Bagi mendiang Maradona yang dianggap genius bola sepak yang penuh liku kehidupan, ia merupakan ulang tahun ke-40 jaringan kontroversi ‘Hand of God’ ketika suku akhir Piala Dunia 1986 menentang England, dalam kempen yang menyaksikannya hampir bersendirian membawa Argentina menjulang trofi dunia.

Penyokong Argentina membanjiri bar dan zon penyokong untuk menyaksikan Lionel Messi menjaringkan dua gol ketika kemenangan 2-0 ke atas Austria pada Piala Dunia. – Foto AFP

Bagi Messi yang terkenal dengan imej bersih dan profesional, beliau sekali lagi mencipta sejarah apabila dua golnya menentang Austria pada Piala Dunia 2026 pada awal pagi tadi menjadikannya penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 18 gol.

Maradona, walaupun sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi di luar padang serta kegagalan ujian doping pada Piala Dunia 1994, masih kekal sebagai wira di hati ramai rakyat Argentina.

Sebaliknya, kontroversi jarang dikaitkan dengan Messi, dan penghormatan terhadapnya lebih tertumpu kepada kejayaan yang diraih di atas padang.

“Maradona datang daripada golongan pekerja dan membawa kegembiraan kepada rakyat yang hanya mampu bermimpi menikmati kesenangan yang dinikmati orang lain,” kata Fernando Rollan, 38, kepada AFP.

“Messi pula mewakili generasi yang berbeza. Tetapi saya tetap menyayanginya!”

Imej Messi mudah ditemui di seluruh Buenos Aires. Wajahnya menghiasi Obelisco de Buenos Aires, manakala di bandar Neuquen di wilayah Patagonia terdapat sebuah patung setinggi 26 meter yang didirikan bagi menghormatinya.

Penyokong Argentina gembira apabila Lionel Messi membuktikan bahawa usia bukan penghalang selepas ada pihak yang meragui kemampuannya untuk beraksi di Piala Dunia. – Foto AFP

Penyokong Argentina yang menyelubungi diri dengan bendera kebangsaan, memakai jersi pasukan serta mengecat wajah mereka di bar dan zon penyokong turut mempertahankan idola mereka, sebagaimana yang dilakukan ketika era kegemilangan Maradona.

Perkara itu jelas apabila berita palsu tersebar pada Jumaat lalu yang mendakwa bapa Messi, Jorge, telah meninggal dunia.

Keluarga Messi kemudian mengesahkan bahawa Jorge sebenarnya sedang sakit dan menerima rawatan perubatan.

Keadaan kesihatannya sememangnya diketahui oleh wartawan dan komuniti sukan, namun perkara itu tidak didedahkan secara meluas kepada media arus perdana.

“Semua orang tahu tetapi tiada siapa yang bercakap mengenainya,” kata personaliti media terkenal Yanina Latorre selepas berita itu tersebar.

“Ia hanya mengganggu Messi dan tidak memberi sebarang manfaat.”

Para penyokong berpendapat tiada apa yang boleh mengganggu tumpuan Messi ketika Argentina memburu kejuaraan Piala Dunia berturut-turut.

“Kita sedang berada di tengah-tengah Piala Dunia dan mereka tidak mahu menjejaskan Messi,” kata Oscar Aguilera, 59.

“Mereka bertindak dengan berhati-hati. Sangat penting untuk menjaga Messi pada waktu ini,” tambahnya ketika pulang selepas perlawanan menentang Austria.

Messi akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-39 pada Rabu dan sebelum ini timbul persoalan sama ada beliau masih mampu beraksi di Piala Dunia.

“Messi memang tiada tandingan,” kata Juan Beva yang menyaksikan aksi bintang itu menerusi skrin gergasi di zon penyokong.

“Lelaki tua yang dikatakan hampir bersara itu? Inilah jawapannya kepada semua orang.” – AFP

Continue Reading

Previous: Mbappe harungi ribut, teruskan rentak jaringan di Piala Dunia
Next: Zi Yu intai dua gelaran di Jepun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.