Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Lebih 7,300 anggota kawal keselamatan Sidang Kemuncak ASEAN 2026 di Cebu
  • GLOBAL

Lebih 7,300 anggota kawal keselamatan Sidang Kemuncak ASEAN 2026 di Cebu

Utusan Sarawak 9 hours ago
SIDANG Kemuncak ASEAN 2026 di Cebu. Foto Agensi

MANILA: Lebih 7,300 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan kerajaan dan tindak balas kecemasan akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan Sidang Kemuncak ASEAN 2026 di Cebu, menurut Polis Kebangsaan Filipina (PNP) hari ini, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Ketua PNP Jeneral Jose Melencio Nartatez Jr mengetuai upacara pelepasan anggota di Mactan Shrine di Bandar Lapu-Lapu seemalam, menandakan pengaktifan penuh langkah keselamatan nasional yang diselaraskan bagi satu daripada acara diplomatik paling penting di rantau ini.

Kumpulan Tugas Visayas Tengah di bawah Jawatankuasa Keselamatan, Keamanan dan Ketenteraman Awam serta Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Kecemasan (CSPOEPR) menggabungkan pasukan daripada PNP, Angkatan Tentera Filipina (AFP), Biro Perlindungan Kebakaran (BFP), Pengawal Pantai Filipina (PCG), Jabatan Kesihatan (DOH) dan Pejabat Pertahanan Awam (OCD), antara lain.

Penugasan itu merangkumi kawalan keselamatan lokasi, perlindungan konvoi, pemantauan pesisir dan ruang udara, pengurusan trafik, tindak balas perubatan kecemasan serta pengendalian insiden secara pantas.

Nartatez turut menjalankan pemeriksaan udara di beberapa kawasan utama di Visayas Tengah bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi, mengesahkan pelan penugasan serta memastikan penyelarasan lancar pasukan keselamatan di lokasi kritikal, laluan pengangkutan dan venue acara.

Beliau berkata persiapan bagi sidang kemuncak itu dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan terus diperkemas.

“Operasi ini adalah hasil perancangan rapi dan penyelarasan berterusan, berasaskan amalan terbaik daripada penganjuran acara nasional dan antarabangsa sebelum ini. Kami bersedia sepenuhnya untuk memastikan Sidang Kemuncak ASEAN berlangsung dengan selamat dan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sidang Kemuncak ASEAN 2026 akan berlangsung pada 7 dan 8 Mei di Bandar Lapu-Lapu, dengan delegasi asing dijangka tiba seawal 5 Mei dan berlepas sehingga 12 Mei.

Pemimpin dunia akan membincangkan isu utama serantau termasuk kerjasama keselamatan, integrasi ekonomi dan pembangunan dasar. – Bernama

Continue Reading

Previous: Satelit pemerhatian bumi Korea Selatan dilancarkan dari pangkalan AS
Next: Afghanistan serahkan rumah baharu kepada pelarian yang kembali

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.