BINTULU: Seramai 41,405 penduduk di daerah Bintulu menerima manfaat menerusi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 yang diperkenalkan kerajaan Sarawak bagi membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat.
Jumlah penerima itu terdiri daripada 19,489 penerima kategori isi rumah, 4,834 golongan bujang dan 17,082 warga emas.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.70 Samalaju, Datuk Majang Renggi, berkata SKAS 2026 merupakan bantuan kewangan kepada rakyat Sarawak yang memenuhi syarat kelayakan.
Menurutnya, kadar bantuan yang diterima berbeza mengikut kategori, dengan penerima isi rumah menerima sehingga RM1,100, warga emas RM600, manakala golongan bujang menerima RM375.
“Dengan adanya program ini, ia akan membantu meringankan beban kewangan rakyat. Saya percaya semua yang layak telah diberikan dan telah pun dimasukkan dalam program ini,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 bagi DUN N.70 Samalaju di Econsave Kidurong, di sini, hari ini.
Bagi SKAS 2026, pembayaran bantuan dilaksanakan dalam tiga fasa bagi setiap kategori penerima.

Bagi kategori isi rumah, jumlah keseluruhan RM1,100 disalurkan secara berperingkat, iaitu RM316 pada fasa pertama, RM424 pada fasa kedua dan RM360 pada fasa ketiga.
Sementara itu, penerima warga emas menerima RM166, RM234 dan RM200 mengikut tiga fasa, manakala penerima bujang menerima RM100, RM150 dan RM125.
Fasa ketiga pembayaran SKAS 2026 dijadualkan pada November ini, sekali gus melengkapkan jumlah bantuan tahunan yang ditetapkan bagi setiap kategori.
Pelaksanaan SKAS 2026 turut memperlihatkan peningkatan kadar bantuan berbanding sebelumnya, dengan jumlah baharu ditetapkan sebanyak RM1,100 bagi isi rumah, RM600 bagi warga emas dan RM375 bagi bujang.
Program tersebut merupakan antara usaha kerajaan Sarawak untuk membantu golongan yang layak mendapatkan sokongan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup serta memenuhi keperluan asas keluarga.
Oleh Faizah Muzidi




