SIBU: Lebih 400 pemimpin Lions dari pelbagai negara menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Lions ASEAN 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemilihan Sibu sebagai tuan rumah bagi sidang kemuncak itu membuktikan keupayaan Sarawak sebagai destinasi pilihan untuk menganjurkan acara bertaraf antarabangsa, sekali gus memberi sumbangan besar kepada sektor pelancongan negeri.
“Sidang kemuncak ini disertai oleh delegasi dari China, Brunei, Thailand, Filipina, Amerika Syarikat, Hong Kong, Taipei, Indonesia dan Sri Lanka.
“Pemilihan Sarawak oleh organisasi antarabangsa seperti Lions membuktikan negeri ini mempunyai infrastruktur, hospitaliti serta daya tarikan pelancongan yang kukuh,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting.
Beliau menambah bahawa kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama Sarawak di persada antarabangsa, malah berpotensi meningkatkan jumlah pelancong ke negeri ini.
“Sektor pelancongan Sarawak mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan, dengan 4.831 juta ketibaan pelancong direkodkan pada 2024, meningkat 22.95 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM12.45 bilion.
“Bagi tahun ini, kita menyasarkan lima juta ketibaan pelancong, dan setakat Januari 2025 sahaja, Sarawak telah menerima lebih 400,000 pelawat, meningkat 13.47 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Abdul Karim berkata, sidang kemuncak itu bukan sahaja menjadi platform perbincangan, tetapi juga medan mengukuhkan jaringan serta merancang inisiatif bagi memberi impak besar kepada masyarakat.
“Sidang ini menekankan kepentingan inovasi dan adaptasi dalam memastikan gerakan Kelab Lions terus relevan serta berkesan dalam menghadapi cabaran global.
“Diharap sidang ini dapat memberi inspirasi serta mendorong tindakan yang membawa perubahan positif kepada masyarakat sejagat,” katanya.
Sementara itu, Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Lions Sibu Pahlawan atas kejayaan menganjurkan sidang kemuncak tersebut.
“Ia bukan sahaja mencerminkan dedikasi dan semangat kepimpinan Lions, malah membuktikan keupayaan Sarawak sebagai destinasi utama bagi persidangan antarabangsa,” katanya yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.
Turut hadir ialah ADUN Bukit Assek Joseph Chieng, Pengarah Lions Antarabangsa Datuk Yeow Wah Chin, Naib Gabenor Lions Daerah Kedua Datuk Jimmy Tie, Presiden Kelab Lions Sibu Pahlawan Steady Tiau serta Pengerusi Pengelola Jamie Tiew.
Oleh Tarani Lanting