
PADANG BESAR: Lebih 27,000 lembu dibawa masuk ke negara ini, dan menjalani proses saringan serta kuarantin yang ketat oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk menampung bekalan bersempena dengan Aidiladha.
Timbalan Ketua Pengarah MAQIS Dr Azhari Sharidan Abu Bakar berkata pihaknya memberikan jaminan kesemua lembu yang kebanyakannya dari Thailand itu bebas daripada sebarang penyakit haiwan serta selamat dijual dan disembelih bagi tujuan ibadah korban.


Beliau berkata lembu itu dipantau dalam tempoh 14 hari kuarantin, antara pemantauan itu adalah mengenal pasti sama ada terdapat risiko tanda kehadiran penyakit kuku dan mulut (FMD) serta penyakit Lumpy Skin Disease (LSD).
“Dua penyakit ini antara penyakit utama yang kita pantau sepanjang kuarantin,” katanya kepada Bernama di Stesen Kuarantin Haiwan MAQIS Padang Besar, di sini.
Dr Azhari Sharidan berkata pihaknya juga merekodkan pengimportan kira-kira 1,000 kerbau ke Malaysia setakat ini menjelang sambutan Aidiladha.


Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan untuk ternakan haiwan melepasi saringan MAQIS bagi memastikan kawalan penyakit ternakan terkawal demi keselamatan dan kesihatan awam dengan menyeru pihak pengimport untuk sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan.
“Cuma kadang-kadang kita ada (kes) ketidakpatuhan semasa (ternakan lembu) dikuarantin, sebelum habis tempoh kuarantin 14 hari. Lembu ini sudah dibawa keluar untuk dijual kepada klien, ini kita boleh ambil tindakan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011.
“Ini kerana ada pihak pengimport meletakkan lembu mereka untuk dikuarantin di premis kuarantin swasta yang disahkan MAQIS selain stesen kuarantin kerajaan (MAQIS). Tahun lepas, MAQIS merekodkan satu kes, manakala tahun sebelumnya dua kes berkaitan ketidakpatuhan tempoh kuarantin ini,” katanya.

Dr Azhari Sharidan berkata semua haiwan ternakan yang dikuarantin di premis kuarantin swasta dipantau dari semasa ke semasa oleh pegawai MAQIS, maka pihak berkaitan diingatkan untuk tidak melakukan sebarang tindakan ketidakpatuhan.
“Sekiranya stesen kuarantin MAQIS dah penuh, lembu boleh dikuarantin di premis kuarantin swasta ataupun di tempat sendiri. Untuk kuarantin di tempat sendiri perlu memohon kebenaran daripada MAQIS terlebih dahulu bagi mendapatkan kelulusan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata terdapat tiga pintu masuk di negara ini untuk kemasukan haiwan ternakan, iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, ICQS Bukit Kayu Hitam di Kedah dan ICQS Rantau Panjang (Kelantan).- Bernama