Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Lebih 140,000 kes penagihan dadah sintetik tahun lepas – Saifuddin Nasution
  • NASIONAL

Lebih 140,000 kes penagihan dadah sintetik tahun lepas – Saifuddin Nasution

Utusan Sarawak 4 hours ago
PENAGIHAN dadah sintetik terus membimbangkan, lebih 140,000 kes direkodkan tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Penagihan dadah sintetik di negara ini terus menunjukkan situasi membimbangkan dengan 141,817 kes dicatatkan tahun lepas, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata sebanyak 145,526 kes direkodkan pada 2023, manakala 192,857 kes pada 2024.

“Dadah jenis sintetik paling banyak disalahgunakan di negara kita dengan sekitar 70 peratus daripada keseluruhan kes salah guna dadah, khususnya melibatkan dadah jenis perangsang jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah kes penagihan dadah sintetik sejak 2023 hingga kini serta strategi kerajaan menangani peningkatan penggunaan dadah jenis itu termasuk fentanyl.

Saifuddin Nasution berkata data yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan taburan kes tertumpu di beberapa negeri, dengan Pantai Timur dikenal pasti antara yang paling terkesan.

“Daripada rekod itu kita buat pemetaan dan paling serius adalah di negeri-negeri Pantai Timur. Sangat serius. Maknanya jalur Pantai Timur ini, bukan lagi isu ganja, heroin, ketum atau morfin.

“Sebaliknya mereka cenderung kepada ATS, khususnya syabu (methamphetamine) dan yang terbaru, apabila polis membuat operasi terhadap vape yang dicampur, kita jumpa satu lagi bahan iaitu Fentanyl. Ini lebih parah, puluhan kali ganda lebih kuat daripada morfin dan boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata Fentanyl merupakan dadah baharu yang dimasukkan ke dalam senarai bahan terjadual melalui pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) serta Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap penyalahgunaannya.

Bagaimanapun, beliau berkata tahap penyebaran Fentanyl di negara ini masih belum serius berbanding dadah sintetik lain, walaupun kewujudannya mula dikesan.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata keseluruhannya kira-kira 192,000 kes penyalahgunaan dadah direkodkan setakat ini sejak Januari lepas, bersamaan 560 kes bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia, dengan hampir 75 peratus melibatkan golongan berusia antara 15 hingga 39 tahun.

“Namun jika dilihat mengikut daerah, kawasan mencatat kadar tertinggi ialah Pendang, diikuti Kuala Krai, Bachok, Besut dan Mersing turut tersenarai.

“Data ini juga mencerminkan situasi dalam penjara. Daripada setiap 100 banduan, kira-kira 70 berkait dengan kes dadah sama ada sabitan atau reman. Di sesetengah penjara seperti Machang, hampir 100 peratus kes melibatkan dadah,” katanya.

Beliau berkata AADK melaksanakan pelbagai pendekatan termasuk pencegahan berasaskan komuniti, pendidikan di institusi pendidikan serta program intervensi keluarga dan tempat kerja, selain kerjasama dengan PDRM dan Jabatan Kastam dalam aspek penguatkuasaan.

Menjawab soalan tambahan Khoo mengenai sama ada Malaysia menjadi hab transit atau pusat pengedaran dadah, Saifuddin Nasution berkata perkembangan teknologi telah memudahkan pembelian dadah secara dalam talian.

“Platform pembelian ini tidak mengawal barang yang dijual dan dibeli. Ini menjadi satu lagi cabaran dan risiko dalam penguatkuasaan,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Selamatkan 21 nyawa, pemandu lori terima anugerah khas dan sagu hati

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.