Lebih 14.2 juta individu terima BUDI95 dengan penggunaan lebih 13.4 bilion liter – Amir Hamzah

Facebook
WhatsApp
MENTERI Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas, Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Lebih 14.2 juta daripada 16.7 juta individu yang menerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) telah menikmati subsidi berkenaan yang melibatkan penggunaan lebih 13.4 bilion liter, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata harga RON95 tanpa subsidi yang berubah mengikut harga pasaran hanya terpakai kepada pembeli yang tidak layak menerima subsidi, termasuk bukan warganegara dan pihak yang tidak memenuhi kriteria kelayakan BUDI95.

“Berdasarkan data penggunaan sebenar BUDI95 antara Oktober 2025 sehingga Jun 2026, kurang daripada satu peratus pengguna BUDI95 menggunakan lebih 200 liter RON95 secara konsisten.

“Secara purata, penggunaan RON95 adalah sekitar 100 liter sebulan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Bin Suan berkenaan impak penjimatan tahunan daripada pelaksanaan subsidi bersasar RON95.

Amir Hamzah berkata berdasarkan pelaksanaan semasa, penjimatan fiskal dianggarkan sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, tertakluk kepada harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang dan corak penggunaan sebenar.

Menjawab soalan tambahan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai saranan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang menggalakkan Malaysia untuk secara beransur-ansur menggantikan BUDI95 dan menggunakan mekanisme lain sebagai dasar kerajaan dalam tempoh masa sederhana, katanya kerajaan telah beralih kepada subsidi bersasar berbanding subsidi pukal yang diamalkan sebelum ini.

“Kelayakan BUDI95 melihat warganegara tempatan mendapat 200 liter bagi RON95 manakala bukan warganegara tidak menikmati subsidi ini. Ini telah menjimatkan ruang fiskal kerajaan.

“Kita sangat faham yang OECD telah menggalakkan untuk menarik balik semua subsidi tapi kita tidak boleh berbuat sedemikian dalam negara ini…yang pentingnya, kita buat (subsidi) secara bersasar dan bukan secara mendadak seperti yang dicadangkan oleh OECD,” katanya.

OECD yang berpangkalan di Perancis menyarankan agar Malaysia menghapuskan subsidi bahan api secara berperingkat.

Badan pemikir ekonomi dunia itu memaklumkan langkah berkenaan diperlukan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan ketika Malaysia semakin menghampiri status negara berpendapatan tinggi.- Bernama