MUKAH: Lebih 1,000 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat memeriahkan Sambutan Hari Sarawak Ke-63 Peringkat Daerah Mukah di Dataran Pehin Setia Raja, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, sambutan Hari Sarawak bukan sekadar memperingati sejarah negeri, malah menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan serta menyemai semangat cintakan Sarawak dalam kalangan rakyat.

“Hari Sarawak perlu terus dijadikan wadah untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum dan mengukuhkan semangat kebersamaan demi kemajuan negeri,” katanya ketika menghadiri sambutan yang bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur’.
Sambutan itu turut dimeriahkan dengan penganjuran Larian Santai Hari Sarawak dan Jalan Santai Hari Sarawak yang dilepaskan oleh Royston sebelum beliau meluangkan masa beramah mesra dengan para peserta.
Menurutnya, penganjuran kedua-dua acara tersebut bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menyemarakkan semangat perpaduan sempena sambutan Hari Sarawak.

Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang program, antaranya Kuiz Hari Sarawak anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Mukah, pameran oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), selain pertandingan karaoke.
Turut mencuri perhatian ialah pertandingan mewarna bagi kategori murid tabika dan prasekolah serta kategori peserta berusia 45 hingga 70 tahun yang menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.




