KUCHING: Lebih 100 pelajar Sarawak yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerima tajaan pendidikan Petronas menerusi program Tajaan Pendidikan Petronas Memperkasakan Ilmu (PPKES), hari ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, berkata tajaan itu merupakan pelaburan strategik dalam melahirkan tenaga profesional dan pemimpin masa depan yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
“Kejayaan agenda pembangunan Sarawak pada akhirnya bergantung pada kualiti rakyatnya.

“Generasi muda akan menjadi pemangkin inovasi, memperkukuh pelbagai industri dan menerajui pembangunan negeri pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan Petronas Memperkasakan Ilmu Sarawak 2026, di sini.
Menurutnya, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan inovatif penting bagi menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju berpendapatan tinggi, makmur dan inklusif menjelang 2030.
Beliau turut mengingatkan penerima tajaan supaya memanfaatkan peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman, di samping terus berpegang pada nilai, integriti serta jati diri.

Katanya, ilmu dan kemahiran yang diperoleh diharap dapat dibawa pulang untuk memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan Sarawak serta negara pada masa hadapan.
Penerima tajaan dipilih daripada lebih 7,000 pemohon berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan dan penglibatan aktif dalam kokurikulum.
Mereka akan melanjutkan pengajian dalam bidang seperti kejuruteraan, sains, teknologi, analitik data, perniagaan dan sains sosial di Universiti Teknologi Petronas (UTP), universiti tempatan serta institusi pengajian tinggi di United Kingdom, Kanada dan Australia.

Sejak diperkenalkan pada 1975, program tajaan pendidikan Petronas telah memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar Malaysia, termasuk anak Sarawak.
Tajaan berkenaan disampaikan oleh Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pendidikan dan Pelaburan Modal Insan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Akmal Niza Ahmad, Pengurus Besar Kanan, Perhubungan Pihak Berkepentingan Petronas Khairuddin Jaafar, Pengurus Besar Kanan Petronas Sarawak Asset Shalby Reduan serta Pengurus Besar Petronas Sarawak Norazibah Md Rabu.
Oleh Norman B





