
CARDIFF: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memulakan lawatan rasmi ke United Kingdom, hari ini untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang inovasi dan semikonduktor.
Setibanya di Cardiff, beliau disambut Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dan pemimpin kerajaan negeri.
Lawatan ini menyaksikan perjanjian kerjasama antara SMD Semiconductor dan tiga syarikat terkemuka di UK, CSA Catapult, Silicon Catalyst, dan 5G3i Ltd.
Salah satu sorotan penting lawatan ini adalah demonstrasi prototaip sistem penukar pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dikembangkan oleh SMD Semiconductor.
Sistem ini berpotensi untuk diaplikasikan dalam sektor utama seperti tenaga, pengangkutan, industri berat serta bidang kritikal seperti aeroangkasa, penjagaan kesihatan dan pertahanan.
Selain melawat CSA Catapult, Premier Sarawak juga dijadual mengadakan sesi jaringan dengan wakil Kerajaan England, Scotland dan Ireland Utara untuk memperkukuh kerjasama UK-Sarawak dalam pembangunan teknologi tinggi.
Lawatan ini turut mengukuhkan kerjasama yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMD Semiconductor dan CSA Catapult pada April 2024, membuka ruang untuk peluang pelaburan dan pembangunan teknologi bersama.
Pada 1 Mei, Premier Sarawak dijadual melawat Cambridge University Press and Assessment untuk mengeksplorasi kerjasama dalam bidang pentaksiran pendidikan dan penyelidikan.
Delegasi juga dijadual bertemu dengan International Hydropower Association dan Global Renewable Alliances bagi mengembangkan kerjasama dalam tenaga hijau.
Lawatan rasmi ini berakhir pada 3 Mei dengan Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) bersama pelajar Sarawak di UK dan Ireland.
Selepas itu, delegasi akan meneruskan lawatan ke Toulouse, Perancis untuk melawat ibu pejabat syarikat pembuat pesawat Airbus, sebelum bergerak ke Abu Dhabi untuk lawatan berkaitan pelabuhan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed.