LAWAS: Rakyat menghargai Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak meminggirkan keperluan rakyat diutara Sarawak.
Malahan dalam pembentangan RMK-12 itu membabitkan Projek Pembinaan Jalan sepanjang 6.5 kilometer dari sempadan Ba’kelalan ke Kompleks CIQ dan terus ke Lawas diluluskan untuk dilaksanakan.
Perintis yang membina kepada hala tuju strategik bertemakan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’ membabitkan peruntukan RM400 bilion di Parlimen Lawas adalah atas usaha berterusan Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar terdahulu Dato Henry Sum Agong yang kini menjawat sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia.
Projek Pembinaan Jalan sepanjang 6.5 kilometer dari sempadan Ba’kelalan ke Kompleks CIQ terus ke Lawas dengan spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR) piawaian R1 berturap serta beberapa jambatan yang diluluskan dalam RMK-12 juga diluluskan KPLB.
Ini penting kerana Indonesia akan memindahkan pusat pentadbirannya ke Kalimantan dan ini pastinya akan menjadi salah satu penghubung daripada Kalimantan, Indonesia ke Malaysia khususnya bahagian Utara Sarawak.
Selain itu, Ahli Parlimen Lawas itu juga telah berjaya menyenaraikan projek pembinaan jalan dari Kampung Murud Suang ke Kampung Long Tengoa, Lawas yang melibatkan pembinaan jalan baru sepanjang 20 kilometer dengan standard JKR R1 selain empat buah jambatan dan semuanya telah dilulus untuk perlaksanaan dalam fasa RMK-12 bermula tahun 2022.
Henry Sum yang dihubungi menjelaskan, beberapa projek berimpak tinggi telah diluluskan oleh perdana menteri yang akan menambah landskap pembangunan Lawas.
Ini melibatkan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lawas dan sebatang jalan di Trusan dari Mengkalap (Murud Suang) ke Long Tengoa di seberang Sungai Trusan.
Ahli Parlimen Lawas itu juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg atas sokongan dan perihatin dengan rakyat di Lawas dan Sarawak amnnya.
Malahan kerjasama yang jitu dengan Timbalan Ketua Menteri merangkap ADUN Bukit Sari Lawas Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan telah memantapkan lagi usaha memajukan Lawas ke satu tahap yang tidak pernah dibayangkan rakyat Lawas.
Oleh ADENG EDRUS