
LAWAS: Hujan mencurah hampir setiap petang sejak seminggu lalu telah menyaksikan beberapa kawasan rendah di Trusan, Sundar dan Merapok mula dinaiki air.
Melalui tinjauan Utusan Sarawak pagi ini, mendapati jalan yang menghubungkan kawasan Trusan Tengah dan Ulu Trusan tidak dapat dilalui kenderaan kecil.
Kampung Seberang Trusan juga turut dilimpahi air daripada Batang Trusan yang menyebabkan banjir kilat sedalam setengah meter.
Perkampungan Melayu Trusan disepanjang Batang Trusan juga tidak sepi daripada limpahan air Batang Trusan yang menyebabkan air naik ke kawasan rumah penduduk.

Setakat 9.51 pagi ini mendapati belum ada pembukaan pusat pemindahan sementara untuk mangsa banjir.
Pasukan keselamatan terdiri daripada Polis DiRaja (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan beberapa agensi lain dilihat melakukan rondaan dan memantau perkembangan paras air Batang Trusan dan Batang Lawas.
Hujan berterusan telah melanda Lawas sejak petang Jumaat hingga awal pagi ini telah menyaksikan paras air di beberapa sungai utama di Lawas mula melimpah melepasi paras tebing sungai.
Operasi penerbangan laluan udara ke Lawas turut dihentikan pagi ini disebabkan kawasan hujung landasan lapangan terbang turut dinaiki air daripada Batang Lawas.
Beberapa anggota keselamatan yang ditemui turut berkongsi kebimbangan tentang masalah telekomunikasi yang sedang dialami di Daerah Lawas.
Ini akan menyebabkan kesukaran untuk mangsa banjir berhubung dengan pasukan menyelamat untuk mendapatkan bantuan segera.
Oleh Adeng Edrus