LAWAS: Pembinaan tiga projek mega di Utara Sarawak bakal menjadikan Lawas sebagai ‘mutiara baharu; di Teluk Brunei.
Projek terbabit ialah Pelabuhan Laut Dalam di Pulau Sari Lawas, lapangan terbang baharu dan sambungan rel keretapi dari Sabah ke Lawas.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Sum Agong berkata beliau bersama pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) sudah melakukan kajian awal pembinaan pelabuhan Sari dan perbincangan dengan kerajaan Sabah untuk perkhidmatan keretapi.
“Kita telah memulakan segala usaha untuk membina pelabuhan Sari di Lawas dan juga laluan rel keretapi dari Sabah ke Lawas.
“Ini bukan sesuatu yang mudah, tetapi usaha ini akan mengubah masa depan Lawas menjadi hab ekonomi di Teluk Brunei,” katanya pada perasmian Program Sarawakku Sayang oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kampung Long Tuma Lawas hari ini.
Henry Sum yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk kerusi Parlimen Lawas menjelaskan bahawa keperluan pelabuhan ini sudah dikemukakan kepada pihak MOT bagi tujuan kajian dan berharap dapat dimasukkan dalam peruntukan separuh penggal perbelanjaan negara tahun depan.
Mengenai perkhidmatan keretapi, katanya, beliau sudah menerima permintaan dari kerajaan Sabah melalui MOT bagi meneruskan rel keretapi dari negeri itu terus ke Lawas.
“Masa depan kita nampak lebih cerah seperti Mutiara di Teluk Brunei kerana akan menjadi sebuah lokasi aktiviti ekonomi dengan jiran di Teluk Brunei itu sendiri dan juga negara jiran di Indonesia sebelah Kalimantan.
“Di Kalimantan juga sedang rancak berjalan pembinaan ibu negara baru di Pangkaraya dekat dengan Ba’ Kelalan di Lawas,” katanya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) Datuk Gerawat Gala dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel.
Oleh ADENG EDRUS