Laut yang kian panas cetus ledakan populasi ubur-ubur – Pakar

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Gabungan matahari, pasir yang putih dan air sejernih kristal menjanjikan percutian indah di pantai tropika, namun di sebalik semua itu ada bahaya yang mungkin tidak disedari oleh pengunjung.

Kerana, apa yang kelihatan seperti cebisan plastik lut sinar hanyut di laut sebenarnya mungkin seekor ubur-ubur. Walaupun kebanyakannya tidak berbahaya, ada spesies berbisa yang sengatannya sangat menyakitkan. Malah, dalam sesetengah kes, mampu mengancam nyawa.

Menurut pakar, ubur-ubur, atau ampai-ampai, berpotensi menjadi antara spesies yang paling mendapat manfaat daripada perubahan iklim dan fenomena El Niño kerana suhu yang semakin panas bukan sahaja mempercepat tumbesarannya tetapi juga menjadi persekitaran sesuai untuk spesies itu terus berkembang biak.

Kajian saintifik merekodkan sekitar 20 hingga 34 spesies ubur-ubur sebenar di perairan Malaysia, kebanyakannya daripada kelas Scyphozoa dan Cubozoa.

Antaranya ialah ubur-ubur kotak (box jellyfish), yang dianggap sebagai antara haiwan marin paling berbisa di dunia. Sengatannya boleh menyebabkan kesakitan yang amat teruk, mencetuskan serangan jantung dan, dalam kes yang serius, mengakibatkan kematian dalam tempoh beberapa minit.

Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Travel Medicine pada Julai 2011 oleh International Society of Travel Medicine, melaporkan tiga kes kematian akibat sengatan ubur-ubur  kotak di Malaysia antara tahun 2000 hingga 2010, yang kesemuanya melibatkan pelancong.

Kes yang terkini berlaku pada 19 Nov tahun lalu, melibatkan seorang kanak-kanak lelaki warga Rusia berusia dua tahun yang meninggal dunia empat hari selepas disengat ubur-ubur jenis itu ketika berenang di kawasan air cetek di Pantai Cenang, Langkawi.

Susulan kejadian itu, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Langkawi melaporkan sebanyak 102 kes sengatan ubur-ubur direkodkan di perairan pulau tersebut sepanjang tiga tahun lalu, dengan 2024 mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 73 kes.

Pada 21 Ogos tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas disengat ubur-ubur kotak ketika berenang di Pantai Sawangan, Kuala Penyu, Sabah. Dalam satu lagi kejadian yang turut berlaku pada Ogos tahun lalu, kira-kira 30 kanak-kanak disengat ubur-ubur ketika menyertai perlumbaan renang air terbuka di Pantai Teluk Senangin, Lumut, Perak.

PENINGKATAN LEDAKAN POPULASI UBUR-UBUR

Pensyarah kanan di Fakulti Sains Biologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Wan Mohd Syazwan Wan Solahudin berkata peningkatan ledakan populasi ubur-ubur di seluruh dunia, termasuk Malaysia, sejak beberapa dekad lalu semakin membimbangkan berikutan kesannya terhadap ekosistem dan manusia.

(Ledakan populasi ubur-ubur merujuk peningkatan mendadak dan besar-besaran bilangan haiwan itu di satu-satu  kawasan laut dalam tempoh tertentu.)

“Sesetengah spesies, khususnya Portuguese Man O’ WarIrukandji dan Chironex sp., boleh menyebabkan gejala yang teruk, komplikasi serius malah kematian akibat sengatan berbisanya.

“Di perairan Malaysia sahaja, lebih 700 kes sengatan ubur-ubur, merangkumi kes membawa maut dan tidak membawa maut, telah dilaporkan sejak awal  2000-an,” katanya kepada Bernama.

Wan Mohd Syazwan berkata ubur-ubur berpotensi mendapat manfaat daripada perubahan iklim kerana peningkatan suhu laut boleh merangsang kemunculan ubur-ubur muda serta mempercepat tumbesarannya.

Keadaan ini menjadi lebih sesuai ketika fenomena El Niño apabila suhu laut meningkat, kandungan oksigen berkurangan dan pengasidan laut berlaku, sekali gus mewujudkan persekitaran yang membolehkan populasi ampai-ampai berkembang pesat.

“Ubur-ubur  dewasa juga berpotensi meluaskan taburannya ke kawasan beriklim sederhana dan subtropika kerana ia lebih berdaya tahan terhadap keadaan kekurangan oksigen (hipoksia) berbanding pesaingnya seperti ikan dan hidupan bercangkerang. Ini kerana keperluan oksigen dan makanannya lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata di kawasan beriklim sederhana, peningkatan suhu dikaitkan dengan pertambahan pelbagai spesies ubur-ubur, manakala di Malaysia, ledakan populasi haiwan itu sering dilaporkan pada bulan-bulan panas antara Januari hingga September.

Menurutnya, selain faktor perubahan iklim, ledakan populasi ampai-ampai turut didorong oleh aktiviti manusia seperti penangkapan ikan secara berlebihan serta pertambahan struktur buatan manusia seperti pancang ikan, sangkar ternakan ikan dan jeti.

Beliau menambah fenomena itu juga boleh menjejaskan aktiviti ekonomi kerana kebanyakan kes sengatan melibatkan pengunjung pantai, dan penutupan pantai akibat kehadiran ubur-ubur boleh menjejaskan aktiviti rekreasi serta menyebabkan kerugian kepada sektor pelancongan.

WASPADA UBUR-UBUR… Suhu laut yang semakin panas mencetuskan peningkatan populasi ubur-ubur di perairan negara, sekali gus meningkatkan risiko sengatan terhadap orang awam. Foto hiasan BERNAMA

PERLU LEBIH BANYAK KAJIAN, KESEDARAN MASYARAKAT  

Wan Mohd Syazwan berkata ledakan populasi ubur-ubur bukanlah fenomena baharu di Malaysia. Rekod sejarah menunjukkan sekurang-kurangnya 65 kejadian ledakan populasi berlaku di perairan negara ini sejak awal 1960-an hingga kini, melibatkan sekurang-kurangnya lima spesies ampai-ampai.

“Walaupun fenomena ini kerap berlaku dan melibatkan populasi yang besar, ubur-ubur tidak menjadi keutamaan dalam penyelidikan saintifik di Malaysia sehinggalah kebelakangan ini apabila penyelidik tempatan daripada UPM dan Universiti Sains Malaysia mula mengkaji punca fenomena tersebut, termasuk bagaimana perubahan persekitaran tempatan mempengaruhi populasi ubur-ubur dan mengapa haiwan ini hanya berkembang pesat pada waktu tertentu,” katanya.

Beliau berkata penyelidik masih memerlukan lebih banyak maklumat bagi memahami mengapa ubur-ubur berkembang pesat di kawasan tertentu serta sama ada keadaan itu berpunca daripada perubahan iklim atau faktor lain yang disebabkan oleh aktiviti manusia.

“Kita juga perlu memahami dengan lebih mendalam kitaran hidup dan tingkah laku ubur-ubur supaya kita dapat meramalkan lokasi serta tempoh kemunculannya.

“Maklumat ini amat diperlukan bagi membolehkan kita mengurus dan mengurangkan kesan ledakan populasi ubur-ubur terhadap persekitaran marin serta kesejahteraan manusia dalam keadaan perubahan iklim yang semakin ketara,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kecemasan dan Toksinologi Klinikal  di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ahmad Khaldun Ismail berkata kesedaran awam yang lebih tinggi, petugas respons awal yang terlatih serta tahap kesiapsiagaan kecemasan yang lebih baik amat penting bagi mengurangkan kematian akibat sengatan ubur-ubur.

“Usaha pencegahan adalah lebih baik berbanding rawatan. Namun, jika berlaku sengatan, tindakan yang diambil dalam beberapa minit pertama boleh menjadi penentu sama ada nyawa mangsa dapat diselamatkan atau sebaliknya,” katanya kepada Bernama.

Beliau percaya banyak kematian sebenarnya dapat dielakkan sekiranya pengunjung pantai dapat mengenal pasti tanda-tanda serangan jantung lebih awal serta segera memulakan bantuan pernafasan dan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sementara menunggu ambulans tiba.

CPR AMAT PENTING

Dr Ahmad Khaldun berkata tidak seperti kebanyakan spesies lain,  ubur-ubur kotak memiliki bisa yang sangat kuat sehingga mampu menyerang jantung dan sistem saraf.

“Sengatan serius ubur-ubur kotak boleh menyebabkan jantung terhenti dalam tempoh beberapa minit, sekali gus memberikan masa yang amat terhad untuk memastikan fungsi otak terus dikekalkan.”

“Jika jantung berhenti, seseorang hanya masa kira-kira empat minit sebelum kerosakan otak bermula. Tanpa CPR selama kira-kira 10 minit, peluang untuk pulih dengan fungsi otak yang baik menjadi amat tipis.

“Dalam kes kanak-kanak warga Rusia itu, CPR tidak dilakukan secara berterusan ketika mangsa dibawa ke hospital, menyebabkan berlaku kekurangan bekalan oksigen yang berpanjangan,” katanya.

Beliau turut menggesa pengusaha aktiviti pantai dan Pihak Berkuasa Tempatan memastikan penyelamat pantai serta petugas respons awal memiliki kemahiran asas sokongan hayat (Basic Life Support/BLS).

Katanya, mereka lazimnya merupakan individu pertama yang dihubungi ketika kecemasan dan perlu berupaya mengenal pasti kes envenomasi yang serius, melakukan CPR serta meneruskan usaha resusitasi sehingga pasukan ambulans tiba.

“Pihak berkuasa juga perlu menambah baik sistem pelaporan insiden ubur-ubur supaya pantai yang kerap mencatatkan kes dapat dikenal pasti dengan jelas dan papan tanda amaran dipasang,” katanya.

Dr Ahmad Khaldun turut menasihati orang ramai, khususnya keluarga yang membawa anak kecil, agar memakaikan anak pakaian renang lycra yang menutupi seluruh badan ketika memasuki kawasan perairan yang diketahui mempunyai aktiviti ubur-ubur.

Menurut beliau, pakaian pelindung itu didapati mampu mengurangkan risiko sengatan ubur-ubur daripada sekitar 90 peratus kepada hanya lima peratus.

Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak lagi menggunakan kaedah pertolongan cemas yang tidak terbukti berkesan seperti menyapu air kencing, pasir atau minuman ringan pada kawasan yang disengat.

“Sebaliknya, sesungut ubur-ubur  yang masih melekat perlu dibilas dengan berhati-hati menggunakan air laut sebelum mendapatkan rawatan perubatan dengan segera,” katanya.

ANTIBISA MASIH TERHAD

Dr Ahmad Khaldun yang juga pengasas serta penasihat Southeast Asia Remote Envenomation Consultancy Services, berkata Malaysia tidak menghasilkan sendiri antibisa ubur-ubur kotak.

Sebaliknya, antibisa itu diimport sepenuhnya dari Australia dan hanya disimpan di hospital yang terletak di kawasan pantai yang mempunyai rekod kes sengatan serius ubur-ubur kotak.

“Pada masa ini hanya hospital di Sabah, Pulau Pinang dan Langkawi mempunyai bekalan antibisa tersebut. Setiap hospital hanya menyimpan sejumlah kecil bebuli kerana harganya mahal, mempunyai jangka hayat kira-kira dua tahun dan hanya digunakan bagi kes yang serius,” ujarnya.

Seseorang pesakit mungkin memerlukan satu hingga tiga bebuli antibisa, dengan setiap satu dianggarkan berharga RM4,000 hingga RM6,000.

Pada masa sama, bukan semua kes sengatan ubur-ubur memerlukan antibisa, jelas Dr Ahmad Khaldum dan menambah produk dari Australia itu merupakan satu-satunya rawatan yang tersedia pada masa ini, walaupun keberkesanannya masih terus dinilai.- Bernama

Berjaya jangan bergaya

SETIAP manusia menginginkan kejayaan. Ada yang mengejarnya melalui pendidikan, kerjaya, perniagaan, kepimpinan, kekayaan atau kedudukan dalam masyarakat. Kejayaan sering dilihat

Sifat takabur racun hati yang membinasakan

SIFAT takabur atau sombong merupakan antara penyakit hati yang paling berbahaya dalam Islam. Sifat ini bukan sahaja mencemarkan keperibadian seseorang,