
SIBU: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau menghulurkan bantuan kebajikan kepada seramai 38 penerima, di sini semalam.
Selain itu, Lau turut mengagihkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 19 organisasi dan badan keagamaan.
Lau memberitahu, pengagihan bantuan kebajikan tersebut ialah bantuan pendidikan, kematian, perubatan, bencana serta bantuan hemodialisis.
“Individu yang memerlukan rawatan jangka panjang seperti pesakit dialisis dan kanser boleh memohon bantuan di Pusat Khidmat P.211 Lanang setiap tahun,” ujarnya menerusi kenyataan.
Selain itu, Lau juga telah melancarkan program ‘Welcome, Lanang New Born!’ pada September 2024 sebagai sebahagian daripada siri ‘Program Sayangi Lanang.’
Di bawah program ini, bayi yang dilahirkan pada atau selepas 16 September 2024 dan salah seorang ibu atau bapa kandung merupakan pengundi di kawasan Lanang, adalah layak menerima manfaat kelahiran bayi.
“Ibu bapa boleh mengemukakan salinan kad pengenalan serta sijil kelahiran bayi ke Pusat Khidmat P.211 Lanang dalam tempoh 90 hari selepas kelahiran untuk memohon manfaat ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan organisasi penerima MRP supaya mengemukakan laporan selepas menerima geran dan menganjurkan aktiviti, sebagai sebahagian daripada amalan ketelusan dan integriti dalam melaporkan penggunaan dana.
“Organisasi yang gagal mengemukakan laporan akan disenarai hitam oleh pihak berkuasa berkaitan, sekali gus menyebabkan permohonan mereka pada masa hadapan ditolak,” tegasnya.
Oleh Akun Giman