JALALABAD: Satu serangan bunuh diri yang menyasarkan seorang gabenor wilayah Afghanistan membunuh sekurang-kurangnya lapan orang semalam, kata pegawai, ketika presiden melakukan perjalanan ke Qatar di mana perbincangan damai dengan Taliban terhenti.
Seramai 28 orang cedera apabila penyerang merempuh kenderaannya yang penuh dengan bahan letupan ke konvoi Rahmatullah Yarmal, gabenor wilayah timur Laghman.
“Gabenor memandu ke pejabatnya ketika keretanya dilanggar. Empat pengawalnya dan empat orang awam terbunuh, 28 cedera,” kata jurucakap gabenor, Assadullah Daulatzai kepada AFP, sambil menambah bahawa gabenor itu tidak cedera.
Jurucakap kementerian dalam negeri,Tareq Arian mengesahkan serangan itu dan mengatakan kebanyakan yang cedera adalah orang awam.
Ia berlaku ketika Presiden Ashraf Ghani berangkat ke Doha hari ini untuk bertemu dengan pegawai Qatar, tiga minggu selepas pelancaran rundingan damai penting antara pemerintah Afghanistan dan Taliban.
Ghani terlebih dulu akan berhenti di Kuwait untuk mengucapkan takziah atas kematian Emir Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah, kata jurucakapnya, Sediq Sediqqi.
Rundingan antara Taliban dan perunding pemerintah Afghanistan, yang bertujuan mengakhiri konflik Afghanistan selama 19 tahun,telah terhenti kerana ketidaksetujuan mengenai bagaimana menetapkan kod tingkah laku yang akan menjadi panduan rundingan yang lebih luas.
Taliban, yang adalah penyokong kuat Ahli Sunnah, berkeras untuk mematuhi mazhab Hanafi dalam fahaman Islam Ahli Sunnah,tetapi perunding kerajaan mengatakan itu boleh digunakan untuk mendiskriminasi Hazaras, yang sebahagian besar adalah Syiah, dan minoriti lain di negara itu.
Topik lain yang diperdebatkan ialah bagaimana perjanjian AS-Taliban akan membentuk perjanjian damai masa depan dan bagaimana ia akan dirujuk.
Setakat ini belum ada yang mengaku bertanggungjawab atas serangan Laghman, tetapi Taliban aktif di wilayah itu.
Pada Sabtu, seorang pengebom bunuh diri meletupkan kenderaan yang penuh dengan bahan letupan di pintu masuk sebuah bangunan pentadbiran di wilayah timur Nangarhar, membunuh 15 orang,kebanyakan
orang awam, kata pegawai. – AFP