
MANILA: Ribut tropika Basyang (nama antarabangsa Penha) dilaporkan bergerak ke arah barat pada kelajuan 25 kilometer sejam (km/j), lapor Agensi Berita Filipina (PNA) memetik agensi cuaca negara itu.
Menurut Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA), ribut itu kali terakhir dikesan kira-kira 295 kilometer (km) di timur Hinatuan, Surigao del Sur dengan kelajuan angin maksimum berterusan 65 km/j berhampiran pusatnya dan tiupan angin kencang sehingga 80 km/j.
Susulan kedudukan Basyang yang semakin hampir, Philippine Airlines membatalkan lapan penerbangan pergi dan balik ke Siargao, melibatkan penerbangan dari Manila, Cebu dan Clark.
Sementara itu, PAGASA meletakkan lebih banyak kawasan di beberapa bahagian Visayas dan Mindanao di bawah Isyarat Angin Siklon Tropika (TCWS) No. 2 dengan amaran angin kencang, manakala beberapa kawasan lain kekal di bawah TCWS No. 1 dengan angin kencang dijangka berlaku.
PAGASA turut memberi amaran risiko berlakunya luruan ribut pada tahap minimum hingga sederhana yang berkemungkinan berlaku dalam tempoh 48 jam di kawasan rendah dan komuniti pesisir pantai yang terdedah di sepanjang kawasan pinggir laut sebelah timur.
Amaran badai juga masih berkuat kuasa di sepanjang pesisir timur Visayas dan Mindanao.
Menurut PAGASA, Basyang dijangka mendarat buat kali pertama di Surigao del Sur pada Khamis malam. – Bernama-PNA