
SIBU: Seramai lapan individu dikesan positif dadah dalam Operasi Bersepadu Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilaksanakan di sini, malam tadi.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan, operasi secara bersasar itu bertujuan memastikan pengguna jalan raya tidak berada di bawah pengaruh dadah yang boleh membahayakan keselamatan awam.
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan melibatkan seramai 34 pegawai dan anggota daripada AADK, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Cawangan Sibu serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Sibu.
Ketua Daerah AADK Sibu, Azimah Marsid turut hadir bagi meninjau pelaksanaan operasi tersebut.
Sepanjang operasi, seramai 30 pemandu dan penumpang kenderaan ditahan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing.
Hasil saringan mendapati lapan individu, terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 50 tahun, positif dadah jenis methamphetamine (syabu).
Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Pelaksanaan operasi itu selari dengan usaha memperkasa Akta 283 – APPDB 1983.
yang memberi penekanan kepada pendekatan rawatan dan pemulihan selain penguatkuasaan.
Kenyataan itu menjelaskan, fokus utama SJR adalah untuk memastikan individu yang terlibat bukan sahaja dikenakan tindakan, malah diberikan akses sewajarnya kepada program rawatan dan pemulihan yang disediakan oleh agensi
Dalam pada itu, AADK akan terus komited mempergiat operasi pengesanan terhadap individu yang terlibat dalam aktiviti penagihan serta penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.
Di samping penguatkuasaan tegas, AADK juga melaksanakan pendekatan kesedaran melalui pelbagai platform termasuk media sosial bagi mendidik pengguna jalan raya mengenai risiko serta bahaya penyalahgunaan dadah.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian Penguatkuasaan JPJ, Mohd Ariffin Zaini dan Ketua Unit Penguatkuasaan JIM, Douglas Rundang.
Oleh Akun Giman