
BANGKOK: Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket (PIA) menutup sementara landasan utamanya selama tiga jam pada Rabu petang selepas sebuah pesawat Tentera Laut Diraja Thailand mengalami kerosakan gear pendaratan ketika cuba mendarat.
Kejadian itu menjejaskan jadual 17 penerbangan – tujuh tidak dapat mendarat dan 10 tidak dapat berlepas sepanjang tempoh penutupan landasan, menurut PIA.
Dalam kenyataan pada Rabu, PIA memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan sekitar 11.30 pagi mengenai pesawat jenis Cessna 337 milik Tentera Laut Diraja Thailand yang mengalami kegagalan gear pendaratan semasa menghampiri landasan untuk mendarat di lapangan terbang itu.
“PIA segera memberikan bantuan kecemasan dan menutup sementara landasan selama tiga jam bagi tujuan keselamatan,” menurut kenyataan itu.
PIA menambah bahawa penumpang yang dijadualkan melakukan perjalanan dalam tempoh terbabit dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan masing-masing secara langsung dengan syarikat penerbangan bagi mengelakkan sebarang kelewatan atau ketinggalan penerbangan. – Bernama