Semua pendaki selamat selepas salji lebat di Tibet

Facebook
WhatsApp
PENDUDUK kampung bersama lembu dan kuda mendaki lereng gunung dalam usaha menyelamat ratusan pejalan kaki yang terperangkap akibat salji tebal di kawasan perkhemahan pelancong di Lereng Gunung Everest, Tibet, pada Ahad.

LHASA: Semua pendaki dan petugas perkhidmatan pendakian tempatan yang terkandas akibat salji lebat di Daerah Dingri, Bandar Xigaze di Wilayah Autonomi Xizang (Tibet), barat daya China berhampiran Gunung Everest, berjaya diselamatkan, demikian menurut kenyataan kerajaan tempatan pada Selasa, lapor Xinhua.

Seramai 580 pendaki dan lebih 300 petugas termasuk pemandu tempatan serta penggembala yak, selamat tiba di Pekan Qudeng dan kawasan berhampiran, di mana kakitangan tempatan sedang mengatur perjalanan pulang mereka secara teratur, menurut kerajaan daerah itu.

Kira-kira 12 pendaki telah diiringi ke titik pertemuan dengan bantuan pasukan tempatan yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan, peralatan pemanas dan oksigen.

Salji lebat mula melanda Dingri pada Sabtu malam, menjejaskan pendaki di laluan pergunungan berhampiran Qudeng.

Kerajaan daerah segera menggerakkan pasukan kecemasan bagi menyelaras usaha komunikasi dan bantuan di kawasan terjejas.

Pada Ahad, kerajaan Dingri mengumumkan beberapa kawasan pelancongan, termasuk kawasan pelancongan Gunung Everest, ditutup sementara berikutan salji lebat.- Bernama-Xinhua