SIBU: Projek pembinaan Jalan Sungai Bidut/Kampung Sebedil/Kampung Bungan Kecil Pakej A sepanjang 22 kilometer kini telah siap.
Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo berkata, projek itu menelan kos kira-kira RM104 juta merangkumi dua jambatan iaitu Jambatan Sungai Tutus dan Jambatan Sungai Sabang.
“Jalan ini (pakej A) dibina dengan standard 3R dan telah siap, kini dibuka untuk kegunaan awam.
“Ini adalah permulaan jalan dari Sungai Bidut yang akan pergi ke kawasan Igan dan Dalat di seberang sana.
“Apabila siap sepenuhnya nanti dari Igan dan Dalat, akan mempercepatkan lagi masa perjalanan untuk pergi ke Bahagian Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek tersebut, petang ini.
Aidil berkata, mereka juga telah pun menyiapkan reka bentuk projek bagi pakej B.
Katanya, pakej B bukan satu-satunya sambungan jalan untuk menghubungkan dua tempat ini.
“Kami mempunyai dua atau tiga pakej lagi untuk menyambung ke kawasan Igan di kiri dan kira-kira lima pakej besar dan kecil untuk disambungkan ke Dalat di sebelah kanan,” jelasnya.
Beliau percaya projek itu apabila siap akan mengurangkan masa perjalanan dari Igan atau Dalat ke Sibu berbanding laluan semasa.
“Dalam kiraan kita lebih separuh masa perjalanan dapat dijimatkan,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN