DEBAK: Belum pun sampai seminggu, tiga perkampungan Melayu di Debak kini sekali lagi dilanda banjir kilat, awal pagi tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong Kapten Siti Huzaimah Ibrahim berkata, kejadian banjir tersebut bermula sekitar 9.30 pagi melibatkan tiga kampung yang terjejas iaitu Kampung Babu, Kampung Bungey dan Kampung Lalang.
Menurutnya, pemantauan kali ketiga oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pagi tadi, paras air dilaporkan naik sehingga 1.5 hingga dua kaki (paras pinggang orang dewasa) dan trend air meningkat dalam keadaan perlahan.
“Banjir yang berlaku di ketiga-tiga kampung itu disebabkan hujan lebat sepanjang malam semalam dan setakat tinjauan sekitar 9.30 pagi, keadaan air semakin menaik dengan kedalaman hampir 1.5 hingga dua kaki.
“Namun begitu, jalan utama yang menghubungkan ketiga-tiga buah kampung tersebut dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan,” katanya.
Siti Huzaimah berkata kejadian banjir kilat ini turut berlaku pada 13 Disember lalu, namun tiada tindakan operasi pemindahan dilakukan disebabkan trend air cepat menurun.
Beliau menambah, walaupun pada sebelah petangnya trend air di Sungai Saribas menurun secara perlahan, penduduk diminta untuk dalam keadaan berjaga-jaga, terutamanya penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir adalah dinasihatkan agar sentiasa peka dengan situasi semasa.
“Pastikan sentiasa dalam keadaan bersedia dan berjaga-jaga sekiranya hujan berpanjangan serta paras air sungai menaik. Sekirannya berlaku banjir dan melimpah di kawasan rumah, segera berhubung kepada pihak-pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan menyelamat.
“Langkah ini amat penting dalam memastikan keselamatan nyawa serta harta benda mereka,” katanya.
Siti Huzaimah menambah, bagaimanapun, keadaan terkini di tiga kampung terkawal.
Ujarnya, pihaknya sentiasa berjaga-jaga dengan memantau perkembangan semasa supaya operasi menyelamat dapat dilakukan segera jika paras air terus meningkat di kawasan terlibat.
Oleh Adi Safarman