KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sarawak berjaya menahan dua buah bot nelayan Vietnam bersama 24 nelayan termasuk tekong dengan rampasan bernilai RM 2.5 juta.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, bot terbabit ditahan pada jarak lebih kurang 221 batu nautika, utara Muara Tebas, Kuching oleh kapal KM Sri Aman yang sedang melaksanakan Op Naga Timur 1/2019 di sekitar perairan tersebut pada jam kira-kira 7.30 pagi, 24 Julai lalu.
Menurut Robert, pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati 20 orang termasuk tekong berada di atas bot berkenaan manakala bot kedua pula seramai empat orang termasuk tekong sedang melakukan aktiviti penangkapan hasil laut secara haram
“Kesemua yang ditahan adalah lelaki warga Vietnam, berusia dalam lingkungan 21 hingga 55 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya pada sidang media Penahanan Bot Nelayan Asing (BNA) di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), di sini, kelmarin.
Beliau memaklumkan, kedua-dua bot nelayan, peralatan menangkap ikan, ikan campur dianggarkan seberat dua tan dan minyak diesel sebanyak 19,000 liter disita Maritim Malaysia dianggarkan bernilai RM2.5 juta.
Sementara itu, Robert berkata, kesemua yang ditahan telah diiring masuk ke Jeti APMM, KOMTAS, Kuching dan telah menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Petra Jaya, Kuching sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kes akan disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menangkap ikan di perairan negara yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta atau penjara sehingga dua tahun kepada tekong dan manakala kru boleh didenda RM600 ribu setiap seorang atau penjara sehingga dua tahun dan vesel mereka akan dilucutkan hak.
Jelasnya, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Maritim Malaysia hanya melaksanakan pengusiran ke atas bot nelayan asing bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu. Dalam tempoh itu sebanyak 13 bot nelayan asing telah diusir.
“Namun mulai 24 Jun lalu, Maritim Malaysia telah diberi kebenaran untuk melaksanakan tangkapan ke atas bot nelayan asing dan setakat hari ini, Maritim Negeri Sarawak telah berjaya menahan tujuh buah bot nelayan asing, enam daripadanya adalah disyaki dari Vietnam dan sebuah lagi disyaki dari Indonesia.
Tambah beliau, seramai 51 nelayan warga Vietnam dan lima nelayan warga Indonesia telah ditahan dengan jumlah nilai keseluruhan anggaran tangkapan lebih RM6.7 juta.
Beliau menegaskan, Maritim Malaysia komited dalam memastikan tiada pecerobohan bot nelayan asing di perairan Sarawak dengan menggandakan rondaan dan mengkoordinasi operasi bagi menangkap nelayan asing yang rakus merompak hasil laut negara.
Orang ramai diminta untuk terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti jenayah yang berlaku di perairan Malaysia khususnya di perairan Sarawak dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 atau pun MERS 999 yang beroperasi 24 jam.
Oleh Cheryl Law