
KUALA LUMPUR: Apabila umum membincangkan pekerjaan dalam sektor pembinaan, yang terlintas di fikiran ialah buruh kasar, iaitu individu bertopi keselamatan, lazimnya berwarna kuning dan berkasut but getah yang bekerja di bawah pancaran terik matahari.
Berdasarkan tanggapan itu, polemik berfokus pada warga asing dan bagaimana mereka mendominasi industri pembinaan negara, sementara warga tempatan, lebih-lebih lagi golongan muda, menjauhkan diri daripada pekerjaan ini yang dikategorikan sebagai 3D – berbahaya, kotor dan sukar.
Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) menyanggah tanggapan tersebut yang disifatkan mereka sebagai kurang tepat.
“Apabila orang melihat tapak bina, mereka hanya nampak buruh asing dan menganggap belia tempatan tiada. Hakikatnya, industri pembinaan tidak boleh dilihat sebagai satu entiti yang seragam. Orang muda kita sudahpun berada di pelbagai peringkat, terutama dalam bidang seperti pengurusan projek, penggunaan dron dan penyelarasan BIM,” jelas Setiausaha Agungnya Datuk Astaman Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.
Golongan muda, khususnya Gen Z, sebenarnya berminat dalam sektor pembinaan tetapi lebih cenderung kepada bidang berkemahiran tinggi berasaskan teknologi seperti AI, dron dan BIM. Namun, sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) masih ketinggalan dan tidak selari dengan keperluan industri, menyebabkan graduan kurang bersedia.
Industri pembinaan terus berkembang dan menawarkan banyak peluang kerja, tetapi dominasi pekerja asing kekal, sebahagiannya kerana struktur gaji yang sukar dinaikkan tanpa menjejaskan kos projek.
Selain itu, kurang pendedahan awal, kekurangan mentor, dan persepsi kerjaya yang terbentuk sejak sekolah turut menjejaskan minat belia. Tarikan kepada pekerjaan digital yang cepat menjana pendapatan juga menjadi faktor.

Bekas Pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan STEM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohamad Sattar Rasul melihat isu penyertaan belia dalam industri pembinaan bukan hanya tentang minat, sebaliknya berkait dengan faktor struktur termasuk pendidikan, penyelarasan industri-institusi serta penyerapan tenaga kerja.
Merujuk TVET, beliau berkata pelajar masih kurang mendapat pendedahan yang mencerminkan keperluan sebenar industri, sedangkan teknologi yang digunakan kini jauh lebih maju.
Menurut beliau, keadaan ini turut memberi kesan kepada tahap keyakinan dan kesiapsiagaan pelajar untuk memasuki pasaran kerja, selain mewujudkan jurang antara kemahiran graduan dan keperluan industri.
“Malah, tanpa kerjasama rapat industri dan institusi, peluang pekerjaan sukar diperoleh oleh graduan baharu,” katanya.
Mengambil contoh pendekatan ‘industri dalam kampus’ di China, beliau berkata di negara itu pelajar didedahkan secara langsung kepada amalan industri melalui kerjasama institusi pendidikan dan sektor pembinaan.
“Apabila pelajar jelas dengan laluan kerjaya dan aplikasi sebenar kemahiran, persepsi terhadap kerja 3D tidak lagi menjadi penghalang,” jelasnya yang kini berkhidmat sebagai pensyarah jemputan dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) serta TVET di Jiangsu Second Normal University, Nanjing, China.
Dalam konteks tempatan, beliau berpandangan penyelarasan antara kurikulum, latihan dan perkembangan industri perlu diperkukuh, termasuk memastikan tenaga pengajar sentiasa mengikuti perkembangan teknologi semasa.
“Oleh itu, peningkatan dan latihan semula kemahiran bagi tenaga pengajar amat penting,” cadangnya.

Beliau turut menegaskan keperluan memperkukuh kerjasama industri-institusi bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, selain mencadangkan kerajaan menimbang dasar lebih tersusun termasuk keutamaan kuota pengambilan siswazah tempatan dalam projek tertentu bagi mengelakkan mereka tercicir dalam pasaran kerja.
Mohamad Sattar turut menegaskan gaji dalam sektor pembinaan adalah berdasarkan kemahiran, justeru tidak timbul isu gaji rendah sebagai punca generasi muda menjauhi sektor tersebut.
“Gaji minimum yang biasanya dibincangkan di peringkat awam merujuk tenaga buruh kasar. Realitinya, bagi mereka yang mempunyai sijil atau diploma dalam bidang pembinaan, gaji yang ditawarkan sudah cukup setimpal dengan kemahiran mereka,” katanya.
Menurutnya, seorang pekerja binaan yang mahir mampu memperoleh hingga lebih RM4,000 sebulan, namun yang menjadi isu ialah tahap keyakinan lepasan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk memasuki industri.
“Ramai tidak berani memasuki industri kerana berasakan diri mereka belum cukup bersedia akibat latihan yang belum sepenuhnya menekankan kemahiran praktikal,” jelasnya.
Aspek adaptasi kerjaya dalam kalangan pelajar juga perlu diperkukuh bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja.
“Oleh itu, majikan dalam industri pembinaan perlu memainkan peranan lebih besar dalam pendidikan TVET serta memastikan keterjaminan pekerjaan bagi lulusan TVET,” katanya, menambah tanpa intervensi bersepadu sebegini akan membuatkan cabaran kekurangan tenaga kerja tempatan dalam industri pembinaan terus berlanjutan dan memberi implikasi terhadap daya tahan ekonomi negara. – Bernama