
KUALA LUMPUR: Dalam dunia yang serba pantas dan penuh tekanan hari ini, gaya hidup minimalis semakin mendapat perhatian sebagai cara berkesan untuk meningkatkan kesejahteraan mental.
Aspek penting dalam gaya hidup ini termasuk mengurangkan jumlah barang yang dimiliki. Namun, bagaimana pendekatan ini dapat membantu kita mencapai ketenangan dan fokus dalam hidup?
Menurut Pakar Perunding Psikiatri Am dan Psikogeriatrik, Jabatan Psikiatri Hospital Canselor Tuanku Muhriz Dr Nurul Ain Mohamad Kamal, mengurangkan jumlah barang bukan sekadar membuang barang tidak diperlukan, sebaliknya memilih dengan bijak benda yang memberi nilai dan makna dalam kehidupan kita.
“Apabila bilangan barang berkurangan, ruang fizikal menjadi lebih teratur dan bebas daripada kekusutan, sekali gus mengurangkan gangguan visual yang boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan,” katanya kepada Bernama.
Katanya memiliki barang dalam kuantiti sederhana juga membantu mengurangkan beban mental memandangkan individu tidak perlu risau tentang penyelenggaraan, penyimpanan atau pembelian berlebihan yang tidak diperlukan.
“Kajian yang diterbitkan dalam ScienceDirect (2021) menunjukkan bahawa gaya hidup minimalis memberi kesan positif terhadap kesejahteraan emosi. Ia membantu meningkatkan emosi positif seperti rasa kepuasan dan ketenangan serta mengurangkan simptom kemurungan.
“Dalam satu lagi kajian oleh International Journal of Applied Positive Psychology (2020), individu yang mengamalkan minimalisme turut mengalami manfaat seperti autonomi, kecekapan diri, ruang mental yang lebih lapang, kesedaran tinggi dan emosi yang lebih stabil,” katanya.
Dr Nurul Ain turut mencadangkan kaedah KonMari yang diperkenalkan oleh perunding pengurusan dari Jepun Marie Kondo, iaitu menyimpan hanya barangan yang benar-benar “spark joy” sebagai satu bentuk refleksi diri yang membantu individu mengenal pasti nilai sebenar dalam hidup dan membina semula hubungan yang sihat dengan persekitaran serta emosi diri.
“Apabila kita menyimpan sesuatu hanya kerana rasa bersalah atau ketakutan untuk melepaskannya, ia mungkin berpunca daripada emosi tidak sedar yang belum ditangani. Sebaliknya, apabila barang itu benar-benar digunakan dan memberi fungsi nyata, maka kehadirannya wajar,” jelasnya.
Namun beliau mengingatkan pendekatan minimalis harus dilakukan secara sederhana dan seimbang memandangkan tindakan membuang barangan secara melampau tanpa pertimbangan nilai peribadi boleh membawa kepada kekosongan identiti, terutama jika barangan tersebut mewakili hubungan atau bahagian penting dalam kehidupan seseorang.
Senada, Pegawai Psikologi Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Norezzati Md Hanafiah bersetuju bahawa gaya hidup minimalis bukan sahaja memberi kesan positif terhadap kesihatan mental, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan fizikal dan sosial.
Menurut beliau, persekitaran yang bersepah atau dipenuhi barangan boleh memberi kesan negatif terhadap emosi dan produktiviti seseorang yang juga boleh mencetuskan tekanan serta kebimbangan akibat rasa terganggu dengan kekacauan visual, di samping perasaan seolah-olah ada tugasan belum selesai.
“Individu juga lebih cenderung berasa letih secara mental, sukar untuk fokus dan mengalami penurunan produktiviti kerana masa serta tenaga banyak dihabiskan bagi menguruskan barang yang tidak teratur,” ujarnya.
Selain itu, jelasnya minimalisme juga berupaya membaiki hubungan sosial dan gaya hidup secara keseluruhan serta menjadikan individu itu lebih menghargai barangan yang dimiliki dengan menumpukan pada kualiti berbanding kuantiti.
“Gaya hidup ini turut membantu individu berbelanja dengan lebih berhemat dan mengelakkan pembelian impulsif sekali gus menjadikan individu lebih cermat selain sangat sesuai diamalkan dalam konteks kehidupan bandar hari ini, yang ruang kediaman semakin terhad dan memerlukan pengurusan barang yang bijak serta efisien,” katanya.– Bernama