
KUCHING: Mekanisme baharu subsidi diesel BUDI yang menggantikan bantuan tunai RM400 sebulan dengan sistem kuota bahan api bersasar dilihat sebagai langkah yang munasabah dalam usaha kerajaan merasionalisasikan subsidi dan mengurangkan ketirisan.
Penasihat Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Dato Sim Kiang Chiok berkata, mekanisme yang menawarkan diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter bagi kuota sehingga 200 liter sebulan, dengan tambahan 100 liter kepada pemilik pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang layak, memberi lebih fleksibiliti kepada pengguna individu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keadaan di Sarawak berbeza dengan Semenanjung Malaysia memandangkan negeri ini mempunyai keluasan geografi yang besar serta banyak komuniti yang terletak jauh dari pusat bandar.
“Jarak perjalanan harian di Sarawak lazimnya lebih jauh, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang mempunyai pilihan pengangkutan awam yang terhad atau tiada langsung.
“Ramai usahawan kecil, kontraktor, petani, pengusaha pengangkutan dan pekerja bergantung kepada kenderaan berkuasa diesel untuk bergerak antara bandar, tapak projek dan ladang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan perlu memantau secara berterusan corak penggunaan diesel sebenar di Sarawak dan Sabah bagi memastikan kuota yang ditetapkan kekal praktikal dan mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna.
Beliau turut menekankan bahawa perhatian kini perlu diberikan kepada sektor industri dan perniagaan yang menggunakan diesel dalam jumlah lebih besar, termasuk sektor pembinaan, logistik, pembuatan, kuari dan pengangkutan yang menjadi tunjang penting ekonomi Sarawak.
Katanya, sebarang kekurangan atau sekatan terhadap peruntukan diesel bersubsidi bagi sektor-sektor tersebut akan meningkatkan kos operasi dan seterusnya memberi kesan kepada keseluruhan rantaian bekalan.
“Peningkatan kos diesel akhirnya akan diterjemahkan kepada kenaikan harga bahan binaan, kos logistik dan pengangkutan, kos pembuatan serta harga barangan dan perkhidmatan.
“Ia juga akan memberi tekanan tambahan kepada kemampuan memiliki rumah dan kos sara hidup rakyat,” jelasnya.
Tambah beliau, kesan inflasi di Sarawak berpotensi menjadi lebih ketara berbanding di Semenanjung Malaysia memandangkan kos penghantaran dan pengangkutan sudah menjadi komponen utama perbelanjaan perniagaan di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan memastikan peruntukan diesel bersubsidi bagi sektor strategik di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan skim industri lain kekal mencukupi serta mengambil kira keperluan operasi sebenar perniagaan.
Beliau turut mencadangkan supaya semakan kuota dilaksanakan secara fleksibel bagi menampung pertumbuhan perniagaan, permintaan bermusim dan pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar.
“Matlamat reformasi subsidi adalah untuk menghapuskan ketirisan tanpa menjejaskan produktiviti ekonomi. Subsidi bersasar boleh diterima sekiranya peruntukan untuk sektor industri, logistik dan pembinaan kekal mencukupi,” katanya.
Beliau berharap sebarang penjimatan fiskal hasil rasionalisasi subsidi dapat disalurkan semula kepada sektor produktif serta membantu mengurangkan tekanan kos terhadap perniagaan dan pengguna, khususnya di Sarawak yang masih bergantung besar kepada pengangkutan sebagai nadi ekonomi.
Oleh Shikin Mahmud