
KUCHING: Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Simposium Serantau Konsortium Institusi Keluarga di Rantau Asia (CIFA) 2026, dengan Kuching mencatat sejarah sebagai bandar pertama di negara ini yang menjadi lokasi penganjuran acara berkenaan.
Simposium yang akan berlangsung dari 18 hingga 20 November 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching itu dianjurkan bersama Gabungan Kebangsaan bagi Kesejahteraan Mental Malaysia dan CIFA Hong Kong, serta dijangka menghimpunkan lebih 500 delegasi dari seluruh rantau Asia Pasifik.
Pemilihan Kuching mencerminkan pengiktirafan terhadap Sarawak sebagai hab utama acara perniagaan di Malaysia dan Borneo yang memberi penekanan kepada pembangunan jangka panjang melangkaui pulangan ekonomi semata-mata.
Simposium bertemakan ‘Membina Jambatan: Kesihatan Mental dan Ketahanan Merentasi Generasi dalam Era Kecerdasan Buatan’ itu memberi fokus kepada kanak-kanak, remaja dan ibu bapa, khususnya dalam membina daya tahan dalam dunia digital yang pesat berubah.
Ia turut menekankan peralihan perbincangan daripada sekadar kesedaran kepada tindakan, termasuk pembangunan sumber kesihatan mental yang mudah diakses seperti perkhidmatan mampu milik, sokongan berasaskan komuniti, mekanisme bantuan kewangan, perlindungan insurans serta perlindungan di tempat kerja.
Antara isu utama yang akan dibincangkan termasuk pembentukan daya tahan melalui pengalaman awal kehidupan dan pengaruh ibu bapa, selain kesan media sosial terhadap persepsi diri, kesejahteraan emosi dan komunikasi antara generasi.
Perbincangan juga akan menilai bagaimana generasi berbeza mengalami kesihatan mental dalam era digital, dengan memberi tumpuan kepada risiko dan peluang teknologi serta keperluan merapatkan jurang kefahaman antara ibu bapa dan anak-anak.
Dalam majlis pelancaran awal hari ini, Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menegaskan komitmen pihaknya dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti.
Beliau berkata pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah simposium pertama di Malaysia itu mencerminkan pengiktirafan terhadap usaha Kuching dalam pembangunan inklusif dan kesejahteraan sosial.
“Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengiktiraf bahawa kesejahteraan merupakan sebahagian penting dalam tadbir urus bandar.
“Kita perlu terus menangani stigma kesihatan mental serta memperkukuh pencegahan bunuh diri melalui pendidikan, dialog terbuka dan pendekatan komuniti yang penuh belas ihsan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Simposium Serantau CIFA 2026, Siti Subaidah Mustaffa menggesa agar semua pihak berganding bahu membina sistem sokongan kesihatan mental yang mampan untuk semua peringkat umur.
Ketua Pegawai Eksekutif sementara Business Events Sarawak, Jason Tan Chin Foo berkata penganjuran itu mencerminkan kepentingan kerjasama serantau dalam menangani cabaran keluarga dan kesihatan mental.
“Sarawak menyediakan ruang bermakna untuk perbincangan yang selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam aspek kesejahteraan sosial dan pembangunan modal insan,” jelasnya.
Dalam sesi prapelancaran, pakar turut berkongsi pandangan mengenai pembinaan daya tahan mental serta cabaran generasi dalam era digital, termasuk peranan keluarga dalam membentuk kesejahteraan emosi sejak awal kehidupan.
Simposium Serantau CIFA 2026 merupakan sebahagian daripada siri penglibatan serantau dan Sidang Kemuncak Keluarga Asia dwitahunan anjuran CIFA, yang turut merangkumi beberapa program praacara sebelum penganjuran rasmi di Kuching.