RIO DE JANEIRO (Brazil): Kuasa veto Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diberikan kepada lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) atau dikenali sebagai negara-negara P5, sepatutnya lebih inklusif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ketetapan semasa adalah sangat tidak adil. Seharusnya perlu ada wakil dari Amerika Latin dan Afrika (dalam UNSC),” katanya sambil menambah bahawa reformasi PBB telah dibincangkan lima dekad lamanya.
“Kita bercakap mengenai reformasi institusi PBB. Kami bercakap tentang ideal, kemanusiaan, nilai kemanusiaan.
“..tiada perwakilan dari Afrika, tiada perwakilan untuk Amerika Latin (dalam UNSC), siapa yang peduli? Oleh itu kita perlu menimbangkan perwakilan demokratik yang mencukupi dari wilayah Amerika Latin dan Afrika. Amat tidak adil untuk meneruskan ketetapan semasa berhubung UNSC dengan mengecualikan perwakilan dari wilayah ini,” katanya pada sesi kedua “Reform of the Institutions of Global Governance” di Sidang Kemuncak G20 di sini, semalam.
Anggota tetap UNSC yang terdiri daripada negara China, Perancis, Rusia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat juga dikenali sebagai Permanent Five, Big Five, atau P5.
Anwar berkata seruan untuk pembaharuan PBB mesti mengambil kira prinsip-prinsip perwakilan.
Sementara itu, selain pertemuan dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron, Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan di luar Sidang Kemuncak G20 dengan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, semalam.
Perbincangan dengan Ramaphosa tertumpu pada usaha meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang diplomasi, pendidikan, perdagangan dan pelaburan.
Perbincangan dengan Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer turut berkisar kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.
“Dia menjemput saya untuk melawat ke United Kingdom. Kita sedang kaji,” kata Anwar.
Anwar berkata perbualan dengan Perdana Menteri Vietnam Phạm Minh Chính pula menyentuh mengenai ASEAN, terutamanya Grid Tenaga ASEAN dari Vietnam, melalui Semenanjung ke Singapura.
“Vietnam menyokong inisiatif ini,” katanya. – Bernama