PARA peserta membuat senaman ringan sebelum aktiviti ceramah bermula.
BUAT pertama kalinya KRT Taman Matang Jaya menganjurkan program khusus untuk wanita di kawasan Petra Jaya khususnya di Taman Matang Jaya.
Program Outreach Kesihatan Wanita Taman Matang Jaya menggabungkan tunjang utama perkhidmatan berteraskan wanita seperti Klinik Kesihatan Petra Jaya, UNIMAS dan Pink Ribbon Support Group Sarawak.
Malah, program ini juga mendapat tajaan lokasi penganjuran iaitu di Impianku Cafe di kawasan komuniti tersebut.
Program dimulakan seawal 9.30 pagi dengan bacaan doa dan ucapan aluan oleh Pengerusi KRT Taman Matang Jaya, Wan Ahmad Rafiq Wan Julihi. Beliau mengucapkan jutaan berterima kasih kepada Klinik Kesihatan Petra Jaya, UNIMAS, Pink Ribbon Support Group Sarawak dan Impianku Cafe kerana menjadikan program ini lebih bermakna.
Program dipanaskan terlebih dahulu dengan sesi senaman ringan diketuai oleh Zin Nonoi bagi meredakan stres sebelum aktiviti utama dimulai.
Tiga sesi ceramah diadakan dalam program itu iaitu Ceramah Minda Sihat Hati Tenang disampaikan oleh Azhana dari Klinik Kesihatan Petra Jaya, Ceramah Kanser Kolorektal oleh Dr. Razitasham dari UNIMAS dan seterusnya ‘Talk on Breast Cancer’ oleh Rosmah Yahya dari Pink Ribbon Support Group Sarawak.
Lebih bermakna lagi apabila seorang bekas pesakit kanser payudara, Hajijah Zakaria berkongsi pengalaman beliau dengan 100 peserta pada hari tersebut.
Selain ceramah, program ini juga memuatkan aktiviti seperti Saringan Kesihatan, Pap Smear dan Pemeriksaan Payudara dari ketiga-tiga pertubuhan tersebut.
Lebih mengujakan apabila Pusat Integrasi Pintar (PIP) turut hadir ke program tersebut telah menderma sebanyak RM1,000 kepada Pink Ribbon sebagai tanda sokongan.
“Program ini secara ironinya berjaya mencapai matlamatnya. Terdapat beberapa peserta yang bergejala dan telah dirujuk ke fasiliti kesihatan yang berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.
“Ia juga berjaya memperkenalkan usahawan tempatan yang dijemput untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka,” jelas Wan Ahmad Rafiq Wan Julihi.