
KUCHING: Kemungkinan faktor kemurungan selepas bersalin dalam kes seorang ibu muda yang didakwa menyebabkan kematian seorang daripada bayi kembarnya di Johor Bahru baru-baru ini perlu diteliti berdasarkan penilaian dan laporan perubatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pihaknya masih menunggu maklumat lengkap daripada doktor dan pihak kesihatan bagi mengetahui keadaan sebenar yang dihadapi wanita berkenaan.
“Kadang-kadang ibu yang melahirkan anak mungkin berdepan kemurungan selepas bersalin atau masalah lain dan perkara itu perlu kita pertimbangkan.
“Namun, kes ini masih terlalu baharu dan kita masih menunggu maklumat lanjut sebelum sebarang kesimpulan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Mahasiswa Prihatin dan Jejak Hijau di Pantai Trombol, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Nancy berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang menjalankan proses mengenal pasti Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) untuk menjaga seorang lagi bayi kembar dalam kes berkenaan.
Katanya, keutamaan akan diberikan kepada ahli keluarga terdekat sebelum calon lain dipertimbangkan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Biasanya ahli keluarga diberi keutamaan terlebih dahulu. Jika tiada yang sesuai, kita akan mempertimbangkan individu lain yang layak.
“JKM mempunyai senarai dan proses tersendiri bagi mengenal pasti orang yang layak dan sesuai untuk menjaga kanak-kanak terbabit,” katanya.
Mengulas mengenai sokongan kepada individu yang berdepan masalah kesihatan mental, Nancy berkata kementeriannya bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain menyediakan bantuan psikososial dan khidmat kaunseling menerusi pelbagai program.
Menurutnya, antara inisiatif yang disediakan ialah Program Minda Sejahtera dan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang membantu individu berdepan masalah psikososial.
“Sejak Oktober 2021 hingga Mei tahun ini, seramai 210,294 klien telah disantuni dan berjaya dibantu melalui perkhidmatan PSSS di seluruh negara,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat