KPT, JKR Sarawak perkukuh kerjasama pembangunan infrastruktur pendidikan tinggi

Facebook
WhatsApp
KUNJUNGAN HORMAT… Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd Nor Azman Hassan bersama Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Cassidy Morris dan delegasi bergambar selepas sesi kunjungan hormat di Ibu Pejabat JKR Sarawak, Kuching, hari ini. Foto JKR

KUCHING: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memperkukuh kerjasama strategik menerusi kunjungan hormat Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohd Nor Azman Hassan ke JKR Sarawak, hari ini.

Kunjungan berkenaan disambut Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Cassidy Morris, di Ibu Pejabat JKR Sarawak.

Pertemuan itu menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan berkaitan pelaksanaan dan pembangunan kemudahan serta infrastruktur institusi pendidikan tinggi, khususnya dari aspek kepakaran teknikal dan peranan JKR Sarawak sebagai agensi teknikal kerajaan.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah usaha memperkukuh hubungan strategik antara KPT dan JKR Sarawak, termasuk peluang perkongsian kepakaran teknikal secara berterusan.

Kerjasama berkenaan turut merangkumi aspek perancangan, pembangunan dan pengurusan projek bagi memastikan penyediaan infrastruktur pendidikan tinggi yang berkualiti, berfungsi serta mampan.

Menurut JKR Sarawak dalam kenyataannya, kerjasama berterusan bersama KPT penting bagi memperkukuh penyampaian projek pembangunan, selain mengoptimumkan perkongsian pengalaman dan kepakaran teknikal.

Kunjungan itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi, khususnya dalam menyokong pembangunan sektor pendidikan tinggi negara.