KPKM cadang DOSM laksana bancian tentukan buah kebangsaan

Facebook
WhatsApp
BUAH-BUAHAN tempatan. Foto janaan AI

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mencadangkan Jabatan Perangkaan (DOSM) melaksanakan bancian peringkat nasional bagi menentukan buah tempatan paling sesuai diangkat sebagai buah kebangsaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata langkah itu bagi mendapatkan pandangan rakyat secara menyeluruh memandangkan Malaysia sehingga kini belum mempunyai pengiktirafan rasmi bagi buah kebangsaan berbanding beberapa negara luar yang telah menetapkan identiti itu sebagai strategi penjenamaan nasional.

Beliau berkata KPKM telah menerima permohonan rasmi Persatuan Pengilang Durian (DMA) yang mencadangkan durian sebagai buah kebangsaan manakala Lembaga Perindustrian Nanas (LPNM) mencadangkan nanas.

“Memandangkan terdapat lebih daripada satu cadangan, KPKM berpandangan proses pemilihan perlu dilaksanakan secara objektif dan berasaskan data melalui penglibatan rakyat. KPKM mencadangkan DOSM melaksanakan bancian peringkat nasional bagi mendapatkan pandangan rakyat mengenai buah paling sesuai diangkat sebagai buah kebangsaan Malaysia.

“Pendekatan ini selaras dengan amalan tadbir urus kerajaan yang berasaskan bukti (evidence-based policy making) dan memastikan keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan aspirasi rakyat. Sebarang keputusan kerajaan akan dibuat selepas mengambil kira dapatan bancian itu serta pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya. 

Chan menjawab soalan tambahan Senator Datuk Wu Him Ven mengenai status rasmi penetapan buah kebangsaan pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Menjawab soalan asal Senator Sheikh Umar Bagharib Ali berhubung pelan tindakan kerajaan bagi mempercepat transformasi industri nanas negara untuk mencapai sasaran nilai eksport RM2 bilion menjelang 2027, Chan berkata pelbagai strategi bersepadu sedang dipergiat menerusi LPNM.

Beliau berkata KPKM menerusi LPNM telah merangka Pelan Strategik Peningkatan Pengeksportan Nanas 2026-2027 merangkumi enam strategi utama berasaskan analisis prestasi eksport, trend permintaan pasaran global dan kapasiti bekalan domestik.

“Strategi ini merangkumi pengukuhan eksport ke pasaran utama, khususnya China yang kini menyumbang 72 peratus daripada keseluruhan eksport nanas negara dengan permintaan mencecah 150 kontena buah segar sebulan.

“Selain itu, kerajaan turut melaksanakan program padanan perniagaan secara strategik bagi meneroka pasaran baharu seperti New Zealand, mempergiat promosi antarabangsa, menambah bilangan pengeksport baharu serta memantapkan pemantauan bekalan nanas berkualiti eksport,” katanya.

Chan berkata LPNM turut bekerjasama dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian (SIRIM) bagi membangunkan garis panduan eksport khusus untuk memastikan nanas Malaysia memenuhi standard kualiti, keselamatan makanan serta keperluan Sanitari dan Fitosanitari (SPS) negara pengimport. – Bernama