KPD Kuching gesa warga IPD kekalkan disiplin, integriti

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu menggesa seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching agar terus mengutamakan disiplin, integriti dan semangat kerjasama dalam melaksanakan tugas demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Beliau berkata, setiap pegawai dan anggota perlu sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, arahan serta prosedur kerja yang telah ditetapkan bagi memastikan imej pasukan terus terpelihara.

“Disiplin perlu diperkasakan secara berterusan dan setiap warga IPD Kuching hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen serta profesionalisme,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan IPD Kuching bagi Julai 2026 di Dataran Kawad IPD Kuching, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan aspek penyeliaan sebagai elemen penting dalam membentuk warga pasukan yang berdisiplin, berintegriti dan berprestasi tinggi.

Menurutnya, penyelia bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan arahan, malah perlu menjadi contoh terbaik kepada anggota di bawah seliaan masing-masing.

Beliau turut mengingatkan warga IPD Kuching supaya sentiasa menjaga keterampilan diri serta memperkukuhkan semangat berpasukan bagi mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan saling menyokong.

Pada masa sama, Alexson merakamkan penghargaan kepada seluruh warga IPD Kuching atas komitmen, dedikasi dan pengorbanan yang diberikan sepanjang suku pertama tahun ini sehingga berjaya mencatatkan prestasi kerja yang cemerlang.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan pegawai awam yang menerima kenaikan pangkat serta sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan prestasi dan komitmen mereka.

Mengakhiri amanatnya, beliau menyeru seluruh warga IPD Kuching agar terus mengekalkan kecemerlangan, memperkukuhkan perpaduan serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal sebagai pasukan yang dihormati, diyakini dan disegani masyarakat.