
PETRA JAYA: Perbandingan kos pembinaan tiang bendera di Sarawak dengan projek serupa di Selangor adalah tidak tepat kerana kedua-dua projek mempunyai spesifikasi serta skop kerja yang berbeza, selain projek di Sarawak dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan syarikat korporat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata projek tiang bendera itu bukan sekadar menempatkan tiang bendera, malah dilengkapi fasiliti awam termasuk dataran awam, kawasan rekreasi, laluan pejalan kaki dan ruang santai bagi pengunjung menikmati pemandangan bandar raya Kuching.
“Kos pembinaan ini sepenuhnya ditanggung oleh korporat, bukan dana kerajaan negeri, dan ia bertujuan menyediakan ruang rekreasi berkualiti serta menarik lebih ramai pengunjung ke Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelancaran awal Borneo Global MediTourism Congress & Expo (BGMT) 2026, di sini, hari ini.
Jelasnya, kos pembinaan sepenuhnya dibiayai syarikat korporat ini menjadikan projek tiang Ibu Pertiwi dan Dataran Pertiwi sebagai simbol kejayaan kerjasama awam dan swasta serta contoh inspirasi kepada negeri lain.
Oleh Norman B