Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kos logistik, premium insurans sebabkan kenaikan harga minyak
  • SEMASA

Kos logistik, premium insurans sebabkan kenaikan harga minyak

Utusan Sarawak 9 hours ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan hari ini. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kenaikan harga minyak di Malaysia susulan konflik Asia Barat bukan berpunca daripada kekurangan bekalan semata-mata sebaliknya turut didorong oleh premium risiko dan kos logistik yang melonjak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata walaupun laluan utama bekalan bahan api itu masih berfungsi dan penghantaran minyak ke negara ini tidak terhenti, kos sebenar meningkat ketara akibat faktor insurans dan pengangkutan.

“Kos minyak yang lama diambil sebelum perang tersangkut di (Selat) Hormuz dan sekarang beralih ke Pengerang, itu kosnya meningkat.

“Oleh kerana kos insurans itu sudah melepasi 100 peratus, kos pengangkutan sendiri, caj penghantaran juga bertambah.

“Maknanya minyak yang asalnya itu sepatutnya rendah (kosnya) untuk diproses di Pengerang, (kini) sudah meningkat kosnya,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan keupayaan Malaysia untuk menjalankan diplomasi di peringkat global terus menjadi kekuatan penting dalam menjaga kepentingan negara ketika berdepan konflik global tersebut.

Beliau berkata jaringan persahabatan dengan banyak negara membolehkan Malaysia bertindak dengan lebih berkesan dalam menangani isu antarabangsa dan serantau.

Memberi contoh, Anwar berkata hubungan baik dengan Iran telah membolehkan kapal dagang Malaysia yang membawa minyak melepasi Selat Hormuz baru-baru ini.

“Dalam perbincangan saya dengan Presiden Iran (Masoud Pezeshkian), apabila saya sebut mengenai kapal Malaysia termasuk kapal Petronas, beliau memberi jaminan akan mengarahkan supaya segala yang perlu dilakukan bagi membolehkan kapal kita melalui Selat Hormuz dilaksanakan segera,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Luar mengesahkan bahawa satu daripada tujuh kapal milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz susulan perkembangan situasi serantau telah diberikan laluan selamat dan kini meneruskan pelayaran ke destinasi akhir.

Perkara itu susulan penglibatan diplomatik peringkat tinggi antara Anwar dan Presiden Iran pada 26 Mac lepas yang membolehkan Malaysia memperoleh kebenaran bagi tujuh kapal negara ini menyambung semula perjalanan mereka.

Perjalanan di Selat Hormuz, sebuah laluan sempit strategik yang menyaksikan 20 peratus daripada minyak mentah dan gas dunia melaluinya, terjejas berikutan serangan berterusan Amerika Syarikat dan Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran sejak 28 Februari lepas.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata konflik yang tercetus di Asia Barat memberi kesan langsung kepada ekonomi global, termasuk Malaysia meskipun negara ini tidak terlibat secara langsung.

Beliau berkata peperangan berlaku secara tidak diduga itu berpunca daripada keganasan yang dimulakan oleh Israel dan didukung oleh Amerika Syarikat, sekali gus memberi tempias kepada negara-negara Teluk serta kestabilan ekonomi dunia.

“Berlaku peperangan yang tidak diduga, dan bukan kesalahan kita. Tapi akibat daripada keganasan yang dimulakan oleh Israel, didukung oleh Amerika, dan tempiasnya ke seluruh negara Teluk dan ekonomi dunia,” katanya.

Anwar berkata kesan konflik itu bukan sahaja bersifat jangka pendek, malah memerlukan tempoh pemulihan yang panjang, khususnya melibatkan sektor tenaga.

Memetik pandangan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani yang disampaikan kepadanya, Anwar berkata pemulihan operasi gas dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun, manakala prestasi penuh hanya dapat dicapai dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun.

“Kalau pun selesai perang esok…‘Saudara Anwar, sekurang-kurangnya tiga tahun diperlukan untuk melaksanakan sebahagian pembaikan agar operasi gas dapat dijalankan, dan mungkin tiga hingga lima tahun untuk mencapai prestasi sepenuhnya,” kata Anwar memetik perbualan beliau bersama Emir Qatar itu. – Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Jenazah Joey Ling tiba di Sibu, suasana pilu selubungi Lapangan Terbang Sibu
Next: Pemain industri digesa tampil bantu atasi kekangan bekalan, kos diesel terus menekan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.