SEOUL: Kerajaan Korea Selatan akan memulakan pembelian beras mulai minggu depan untuk dijadikan stok simpanan kecemasan, selari dengan usaha menghadapi situasi bencana alam dan menstabilkan harga pasaran, lapor agensi berita Yonhap.
Di bawah pelan itu, Korea Selatan akan membeli 340,000 tan beras menjelang akhir tahun ini bersama dengan 10,000 tan untuk bantuan ke luar negara, menurut Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar.
Sistem simpanan kecemasan itu dirancang bagi menyimpan stok makanan untuk berdepan kemungkinan bencana alam atau krisis bekalan makanan yang lain.
Kerajaan biasanya membeli sekitar 17 hingga 18 peratus daripada jumlah penggunaan tahunan, persediaan untuk tempoh kira-kira dua bulan.
Justeru, kerajaan berhasrat menyediakan bayaran pendahuluan 30,000 won (US$25.2) untuk setiap guni beras seberat 40 kilogram.
Harga bagi tahun ini belum ditetapkan. Pada 2019 setiap guni beras mencecah 65,750 won.
Korea Selatan turut membeli beras untuk diagihkan ke luar negara di bawah projek Rizab Beras Darurat ASEAN + 3.
Sejak 2017, Korea Selatan telah menyumbang beras kepada Myanmar, Kemboja, Vietnam, Laos dan Filipina di bawah program bantuan kemanusiaan.-Bernama