PENERANGAN… Jurutera Kanan JKR Meehan Jorai (kiri) memberi pene- rangan kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua kanan) semasa lawatan tapak bulatan lampu isyarat di Kuching, semalam. Turut kelihatan Pengarah JKR Richard Tajan (kanan).
KUCHING: Kontraktor penyelamat dilantik untuk meneruskan kerja-kerja menaik taraf lima bulatan di sepanjang Lebuh raya Kuching/Samarahan yang menjadi persimpangan lampu isyarat di kawasan itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerja-kerja menaik taraf itu dijangka siap dalam tempoh 15 bulan dari sekarang.
“Kita telah melantik kontraktor baharu. Pegawai telah memberi taklimat kepada kami dan mereka telah melakukan beberapa kerja.
“Melihat kepada rancangan mereka dan rancangan Jabatan Kerja Raya (JKR), kita berharap projek ini (naik taraf lima bulatan) dapat disiapkan dalam tempoh 15 bulan. Saya sendiri akan datang bersama JKR untuk menyelia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak bulatan ketiga bersama Setiausaha Tetap JKR Chiew Chee Yaw, Pengarahnya Richard Tajan dan Pegawai Kanan JKR serta jurutera kontraktor di sini, semalam.
Uggah berkata, projek penukaran itu menjadi satu kontroversi kerana ia telah ditangguhkan bahkan ia menyebabkan kekecewaan bukan sahaja kepada orang ramai tetapi kerajaan juga.
“Sekarang kerajaan memutuskan untuk melantik kontraktor penyelamat yang menjadi strategi kita jika ada projek ‘sakit’ supaya siap seperti yang dijadualkan,” katanya.
Tambahnya, daripada taklimat yang diberikan kepada beliau, kontraktor baharu itu sudah cukup bersedia dengan mesin, bahan dan tenaga kerja mereka.
“Mereka juga telah memberitahu rancangan mereka untuk mendapatkan peralatan lampu isyarat yang diperlukan.
“Jadi, kita lihat komitmen atau rancangan itu ada, kini menjadi tugas JKR untuk memastikan rancangan itu dilaksanakan. JKR akan merangka garis masa untuk kerja-kerja diteruskan secara progresif dan jabatan akan memantau perkara ini sebagai petunjuk prestasi utama (KPI).
“Mengenai kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor, saya harap ia bukan kes penyapu baru menyapu dengan baik,’ ujarnya.
Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata, kajian akan diambil sekiranya terdapat keperluan untuk menukar bulatan lain di bandar ini menjadi persimpangan lampu isyarat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Kita akan mengkaji cadangan itu, trafik jalan raya kita bukan sahaja di Kuching tetapi seluruh negeri telah meningkat dengan pesat.
“Semakin ramai yang mampu membeli kereta sendiri sekarang tetapi jalan raya kita dibina 30 atau 40 tahun lalu. Ini adalah gambaran kemakmuran yang dinikmati rakyat.
“Terdapat pelbagai pilihan yang boleh diambil seperti membina jejambat, laluan bawah tanah, memasang lampu isyarat dan lain-lain.
“Pilihan bergantung kepada keadaan di setiap bandar atau kawasan dan kita perlu memasukkan apa sahaja pilihan yang diambil dalam perancangan untuk masa depan seperti 50 tahun dari sekarang.” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO