KHARTOUM: Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) semalam berkata, kira-kira 4.8 juta orang telah kehilangan tempat tinggal di dalam dan di luar Sudan akibat konflik antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) sejak pertengahan April.
Kira-kira satu juta orang telah melintasi sempadan ke negara jiran, kata OCHA dalam kemas kini terbaharunya, sambil menyatakan sekurang-kurangnya dua juta kanak-kanak telah meninggalkan rumah mereka sejak konflik di Sudan meletus lebih empat bulan lalu.
Terdahulu, semalam, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) merayu AS$1 bilion untuk menyediakan bantuan penting dan perlindungan kepada lebih 1.8 juta orang yang dijangka tiba di lima negara jiran menjelang akhir tahun ini selepas melarikan diri dari konflik yang berterusan di Sudan, lapor Xinhua.
“Ini adalah peningkatan dua kali ganda daripada apa yang dianggarkan pada awal Mei yang diperlukan untuk menangani krisis ini,” menurut UNHCR dalam satu kenyataan.
Ia menambah lebih daripada satu juta pelarian, orang yang kembali dan warganegara ketiga telah melarikan diri dari negara itu.
Sudan telah menyaksikan pertempuran bersenjata maut antara SAF dan RSF di Khartoum dan kawasan lain sejak 15 April, yang menyebabkan lebih 3,000 orang maut manakala lebih 6,000 cedera, menurut Kementerian Kesihatan Sudan. -Bernama – Xinhua