Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Konflik Asia Barat: Modi gesa rakyat jimat bahan api, kurangkan pembelian emas, perjalanan luar negara
  • GLOBAL

Konflik Asia Barat: Modi gesa rakyat jimat bahan api, kurangkan pembelian emas, perjalanan luar negara

Utusan Sarawak 4 hours ago
PERDANA Menteri India Narendra Modi. Foto hiasan.

HYDERABAD: Perdana Menteri India Narendra Modi menggesa rakyat negara itu menjimatkan penggunaan bahan api serta mengurangkan pembelian emas dan perjalanan ke luar negara sambil menekankan kesan konflik Asia Barat ke atas India.

Merayu kepada semangat patriotisme rakyat, Modi menegaskan bahawa pertukaran asing perlu dipelihara demi kepentingan negara.

Perdana menteri itu berkata, beberapa langkah yang dilaksanakan semasa pandemik COVID-19 boleh diperkenalkan semula bagi menjimatkan bahan api.

“Bekerja dari rumah, persidangan dalam talian, mesyuarat maya, kita perlu kembali memberi keutamaan semula kepada perkara-perkara ini,” kata Modi pada satu perhimpunan awam di Hyderabad pada Ahad.

Beliau berkata dengan kenaikan harga bahan api global, India perlu menjimatkan perbelanjaan import petroleum dan mencadangkan langkah-langkah seperti penggunaan kereta api yang lebih kerap, kenderaan elektrik dan berkongsi kereta.

Merujuk kepada perang Amerika Syarikat-Iran, beliau berkata, konflik itu memberi kesan serius kepada India namun kerajaan sedang berusaha untuk tidak membebankan rakyat dari segi ekonomi.

“Namun apabila rantaian bekalan terus berdepan krisis, tidak kira apa juga langkah yang kita ambil, masalah akan terus bertambah,” katanya.

Modi berkata, pengurangan perjalanan ke luar negara dan pembelian emas selama setahun akan membantu menjimatkan mata wang asing, sambil menegaskan bahawa itulah yang ‘dituntut oleh semangat patriotisme kita’.

Perdana menteri itu menyebut majlis perkahwinan di destinasi pelancongan dan percutian luar negara golongan kelas menengah India sebagai antara punca pengaliran keluar mata wang asing.

Modi berkata, pernah berlaku ketika rakyat menderma emas sewaktu perang dan krisis negara, namun perkara itu tidak lagi diperlukan pada masa ini.

Bagaimanapun, beliau berkata rakyat boleh memutuskan untuk tidak membeli barang kemas emas tanpa mengira majlis yang berlangsung di rumah.

India merupakan pengguna emas kedua terbesar dunia, dengan masyarakatnya secara tradisi membeli barang kemas untuk majlis perkahwinan dan perayaan.

Negara itu juga pengimport tenaga ketiga terbesar dunia dan sedang terkesan akibat gangguan pengangkutan tenaga di Selat Hormuz serta kenaikan harga minyak mentah.

Syarikat minyak milik kerajaan India baru-baru ini menaikkan harga silinder gas petroleum cecair (LPG) komersial hampir 50 peratus, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam sektor perkhidmatan makanan dan dalam kalangan pengguna perniagaan.

Harga silinder LPG komersial seberat 19 kilogram meningkat daripada 2,078.5 rupee (US$22) kepada 3,071.5 rupee di New Delhi selepas kenaikan itu.

Nilai rupee India juga berada di bawah tekanan berbanding dolar AS berikutan peningkatan bil import tenaga negara itu. – Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra dibebaskan dari penjara
Next: Pelancaran kapal angkasa kargo Tianzhou-10 berjaya dilaksanakan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.