
SIBU: Komuniti MADANI Datuk Robert Lau Hui Chew menyumbangkan bakul makanan kepada empat keluarga memerlukan di kawasan Sungai Sadit dan Bawang Assan.
Ketuanya, Penghulu Wong Ung berkata, sumbangan tersebut merupakan antara aktiviti prihatin masyarakat yang dirancang tahun ini dengan penerima terdiri daripada keluarga layak di sekitar kawasan Bawang Assan.
“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan harian keluarga penerima,” katanya.

Tambah beliau, usaha berpasukan penting dalam membina masyarakat prihatin serta terus memberi harapan kepada golongan memerlukan.
“Kumpulan kami terdiri daripada ahli majlis daerah dan bandar serta pemimpin masyarakat yang sentiasa memberi perhatian kepada perkembangan komuniti masing-masing dan golongan kurang berkemampuan. Dengan semangat perpaduan, kami berharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
Oleh Akun Giman