Komitmen pentadbiran Sarawak percepat penyampaian hak milik tanah kepada rakyat

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MALUDAM: Komitmen tinggi jentera pentadbiran Sarawak menjadi pemacu utama kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan termasuk penyampaian surat hak milik tanah kepada rakyat.

Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Moris Nayup berkata pencapaian tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam memperkukuh sistem pentadbiran yang cekap, pantas dan berimpak tinggi.

Menurutnya, penjawat awam perlu meninggalkan amalan kerja lama yang melambatkan penyampaian perkhidmatan, selain mengurangkan kerenah birokrasi dan budaya menunggu arahan.

Katanya, selaras dengan penekanan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) perlu mengamalkan pendekatan 3R iaitu semak semula (Revisit), fikir semula (Rethink) dan memperbaharui semula (Recharge) bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.

PATRICIA Ngu Ming Hung pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi Kampung Triso Darat, semalam. Foto: Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pemangku Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Patricia Ngu Ming Hung, pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi Kampung Triso Darat, semalam.

Moris berkata Jabatan Tanah dan Survei sentiasa menilai semula dasar, prosedur dan proses kerja agar lebih relevan, kreatif serta inovatif demi mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan hubungan erat antara jabatan, ketua masyarakat, ketua kaum dan penduduk perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan keharmonian serta perpaduan masyarakat terus terpelihara.

Menurutnya, pelaksanaan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) telah menjadi pemangkin kepada pembangunan mampan dan memperkukuh pengurusan ekonomi serta pentadbiran negeri.

Beliau berkata kerajaan terus mengiktiraf hak rakyat terhadap Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang sah melalui pelaksanaan Program Pengukuran Tanah NCR dan pengeluaran surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak berdasarkan permohonan serta kesediaan penuntut.

Katanya, pengukuran kampung tradisi yang dibiayai kerajaan membolehkan sempadan dan keluasan lot dikenal pasti dengan tepat, sekali gus memudahkan pengeluaran hak milik serta perancangan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, sekolah dan kemudahan awam.

Beliau memaklumkan berdasarkan rekod Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, isu pemilikan tanah penduduk Kampung Triso Darat yang dibangkitkan sejak 2015 akhirnya diselesaikan hasil keprihatinan kerajaan Sarawak serta sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga.

Pada majlis itu, seramai 46 penduduk Kampung Triso Darat menerima Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak melibatkan 46 lot tanah seluas 3.56 hektar.

Moris turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, atas komitmen beliau dalam menjayakan agenda pemilikan tanah rakyat di Sarawak.

Oleh Adi Safarman