
SARATOK: Kolaborasi pelbagai pihak telah menjayakan penganjuran Program Ihya Ramadan di Kampung Kupang Hilir, dekat sini petang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menyifatkan penganjuran Program Ihya Ramadan di Kupang tahun ini sangat berjaya hasil kerjasama pelbagai pihak.
“Tahniah kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kupang Hilir yang menggerakkan usaha untuk menghidupkan Ramadan dengan kerjasama pelbagai pihak, sama ada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam kampung atau agensi luar,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Majid Amit Zainuddin telah mewakili ADUN Kalaka merasmikan Program Ihya Ramadan Peringkat Kampung Kupang Hilir, Saratok di sini petang semalam.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Duri turut menyentuh beberapa projek pembangunan di Kampung Kupang terutama sekali naik taraf Jalan Kupang-Bajau, pembinaan ban dan naik taraf pintu air skim Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta dua projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang akan dilaksanakan tahun ini.
Program Ihya Ramadan Peringkat Kampung Kupang Hilir diisi dengan pelbagai program sepanjang Ramadan, antaranya gotong-royong membersih kawasan kubur, gotong-royong permbersihan kampung, agihan bakul makanan di bawah Program I Care 4 U –Ziarah Kasih Ramadan bersama Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Zon Sri Aman.
Sebelum itu, turut berlangsung aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk sebanyak 400 bungkus sebelum diagihkan kepada penduduk.
Oleh Adi Saparman