SARIKEI: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) terus menjadi penghubung penting antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan setiap dasar pembangunan kerajaan Sarawak dapat disampaikan, difahami dan dilaksanakan secara berkesan di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, KMKK bukan sahaja berperanan sebagai penyampai dasar kerajaan, malah menjadi jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat sekali gus memperkukuh kepercayaan serta kerjasama demi kesejahteraan masyarakat.
“Malam ini juga merupakan malam yang amat istimewa kerana kita dapat berhimpun bersama lebih 402 orang KMKK dari seluruh Bahagian Sarikei, Meradong, Julau dan Pakan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Temenggong, Pemanca, Penghulu, Ketua Kampung dan Tuai Rumah serta seluruh barisan kepimpinan masyarakat yang hadir.

“KMKK bukan sahaja penyampai dasar kerajaan, malah menjadi jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat, sekali gus memperkukuh kepercayaan dan kerjasama demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok ketika berucap di Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama KMKK Bahagian Sarikei sempena Program Sarawakku Sayang (SKS), hari ini.
Katanya, peranan dan tanggungjawab KMKK amat penting dalam menyokong agenda pembangunan Sarawak kerana mereka merupakan pemimpin di peringkat akar umbi yang memastikan setiap program dan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Sesungguhnya, tugas ini bukanlah mudah. Ia memerlukan kesabaran, keikhlasan, kebijaksanaan dan semangat berkhidmat yang tinggi.
“Seiring dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), kerajaan Sarawak terus memperkukuh institusi KMKK sebagai jentera penting pembangunan di peringkat akar umbi,” katanya.
Katanya, sebagai menghargai jasa dan pengorbanan KMKK, kerajaan Sarawak telah meningkatkan kadar gaji dan elaun bulanan sebanyak RM400 sebulan yang berkuat kuasa mulai Januari 2026.
“Langkah ini membuktikan bahawa kerajaan sentiasa menghargai peranan penting KMKK sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, katanya, Program Sarawakku Sayang (SKS) merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menerangkan agenda pembangunan sosioekonomi negeri dan membawa perkhidmatan kerajaan terus kepada rakyat.
Tambahnya, tema Sarawakku Sayang mengajak seluruh rakyat menghargai keamanan, memperkukuh perpaduan serta bersama-sama memikul tanggungjawab membangunkan negeri agar terus maju dan makmur.
“Saya amat bertuah kerana dapat menyaksikan sendiri perubahan yang sedang berlaku di Bahagian Sarikei.
“Ia adalah hasil daripada perancangan yang teliti, dasar yang jelas serta kepimpinan yang berwawasan di bawah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Sesungguhnya, pembangunan yang kita miliki hari ini adalah hasil usaha bersama. Dan saya percaya, dengan semangat Sarawakku Sayang, kita akan terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya.
Katanya, peningkatan infrastruktur, bekalan utiliti, telekomunikasi serta internet berkelajuan tinggi telah membuka lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa Bahagian Sarikei mempunyai potensi besar sebagai kawasan pembangunan agro moden berteraskan inovasi, teknologi dan nilai tambah, selain melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu menghasilkan produk hiliran, membangunkan jenama tempatan dan meneroka pasaran eksport.
“Bagi pihak seluruh rakyat Bahagian Sarikei, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Sarawak atas komitmen yang tidak pernah berbelah bahagi dalam membangunkan Sarawak.
“Perhatian yang diberikan kepada Sarikei amat bermakna, termasuk projek Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Haji Othman yang bernilai RM321 juta, kini menjadi kebanggaan serta pemangkin ekonomi kawasan ini.
“Terima kasih kepada Premier Sarawak dan kabinet kerajaan Sarawak atas komitmen merealisasikan projek ini serta kesediaan mendengar dan mengambil kira suara rakyat,” ujarnya.
Tiong Sii turut menghargai usaha Premier Sarawak dalam memperjuang dan menegakkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sesungguhnya, Premier Sarawak bukan sekadar berkata-kata, tetapi merupakan seorang pemimpin yang membuktikan komitmennya melalui tindakan serta sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.
“Dengan sokongan dan kepimpinan inilah, kita yakin Bahagian Sarikei akan terus bergerak maju seiring pembangunan pesat negeri Sarawak,” katanya.
Oleh Earl Anek




