MINGGU lalu, kolum ini memaparkan isu berkaitan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dengan tajuk ‘Apa sebenarnya tugas KMKK?’. Ia antara lainĀ memaparkan keluhan seorang wakil rakyat yang mempersoalkan karenah sesetengah KMKK yang berfungsi lebih kepada penyambut tetamu VIP di kampung, tetapi gagal untuk merancang keperluan penduduk setempat atau dapatkan maklum balas apa orang kampung mahu.
“Mereka menyerahkan segala-galanya kepada wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk merancang pembangunan setempat. Wakil rakyat perlu idea pemimpin bawahan seperti ketua kaum yang sentiasa bersama rakyat. Bukankah elok jika KMKK ini bermesyuarat secara berkala mencari idea projek pembangunan kampung?,” katanya.
Berikutan itu, paparan ini mendapat reaksi meluas yang pelbagai daripada pembaca dan warganet yang mahu pemimpin masyarakat ‘lemah’ seperti itu ditukar, adakan pemilihan secara telus, adakan petunjuk prestasi utama (KPI) dan jangan lantik kerana seseorang itu ada ‘talian hayat’ dengan pihak tertentu tetapi gagal menjalankan tugas seperti diharapkan.
Penulis sendiri juga menerima beberapa komen termasuk daripada seorang Ketua Kaum dari Bintulu, dengan mesej panjang mengenai peranan sebenar KMKK dari sudut pandangannya. Beliau berkata, dalam surat pelantikan, salah satu tugas KMKK adalah menjadi telinga dan mata kerajaan dan mereka ini perlu dipilih oleh akar umbi melalui pencalonan.
“Biasanya, tiga hingga empat calon dipilih oleh penduduk kampung untuk memilih ketua kaum. Untuk ketua masyarakat (Temenggong, Pemanca dan Penghulu), sesiapa sahaja boleh memohon, namun akhirnya keputusan adalah terletak pada kuasa politik,” katanya yang juga pernah memegang jawatan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Bagaimanapun katanya, konflik akan mula tercetus apabila orang politik ‘memandai-mandai’ untuk memilih ‘siapa yang mereka suka’, menentukan siapa yang mereka mahu jadi ketua masyarakat atau ketua kaum hingga akhirnya timbul protes dalam masyarakat.
Ketua Masyarakat merujuk kepada pemimpin kawasan tempatan berpangkat Temenggong, Pemanca, Penghulu, manakala Ketua Kaum pula merujuk kepada pemimpin kawasan tempatan berpangkat Tuai Rumah, Kapitan dan Ketua Kampung.
HENTIKAN AMALAN FEUDALISME
Menurut Ketua Kaum itu lagi, tatacara (prosidur) pemilihan atau pelantikan ketua masyarakat masih mengamalkan sistem feudalisme. (Feudal bermaksud berasaskan feudalisme, iaitu sistem kemasyarakatan yang dikuasai oleh kaum bangsawan).
Katanya, sesuatu pelantikan melihat akan kedudukan seseorang seperti yang bergelar Abang, Wan, Syed, Pengiran, Awang atau mereka yang memiliki kedudukan kewangan.
“(Sebaliknya) kita tidak melihat kepada hubungan dengan masyarakat dan Yang Maha Esa. Hubungan dengan Allah dan manusia penting untuk memilih atau melantik seseorang pemimpin akar umbi. Mereka perlu menguasai ilmu apatah lagi pada era digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI). Pemimpin kita perlu melihat ke arah ini bukan nak mempertahankan kuasa politik. Tuntutan masyarakat dan masa depan negara perlu diambil kira. Hentikan segera budaya bunuh Hang Nadim,” katanya secara sindiran.
Hang Nadim, budak lelaki yang tampil dengan idea hebat hingga berjaya menghalang serangan sekumpulan besar ikan todak di Singapura, dikenang kerana keberanian dan kecerdikannya.
Bagaimanapun, beliau tidak bernasib baik apabila dibunuh hanya semata-mata disebabkan oleh sikap sesetengah masyarakat yang kurang berpuas hati dengan idea bernasnya sehingga mendapat perhatian, meskipun ia hanya membabitkan seorang kanak-kanak.
Dalam masyarakat hari ini, budaya ‘bunuh Hang Nadim’ ini seakan-akan masih wujud. Memilih ketua kaum yang ‘yes men’, dan bukan pilih yang lebih muda lagi bijak? Masyarakat yang harmoni tunjang perpaduan kaum. Pembinaan keharmonian mesti diwujudkan dalam suasana hidup bermasyarakat. Oleh sebab itu, slogan kata ‘orang tua dihormati, orang muda disayangi’ sebenarnya mempunyai makna yang mendalam.
Apa yang kita harapkan ialah suatu hari nanti, anak muda yang berilmu ini turut dilantik sebagai ketua masyarakat atau ketua kaum. Masalahnya pula ialah kebanyakan jenis anak muda seperti ini lebih selesa mengejar impian bagi memajukan kerjaya masing-masing sama ada sebagai pegawai awam seperti guru atau bekerja di sektor swasta. Namun, tidak salah memilih bekas pegawai yang sudah bersara sebagai penghulu atau ketua kaum kerana dunia sekarang sudah berubah yang bukan sahaja tahu selok-belok pengurusan, malah memerlukan mereka ini celik IT.
Begitu pun, untuk pemimpin masyarakat yang ada, perlu menjalani latihan intensif secara berkala. Dari segi pengurusan, tatacara bermesyuarat, apa yang perlu dirancang untuk memikirkan keperluan pembangunan anak buah di kampung, belajar serba sedikit kendali media sosial, IT dan sebagainya. Tidak dinafikan mereka banyak pengalaman, dan menerusi latihan pengurusan, akan memantapkan lagi gaya kepemimpinan serta penampilan mereka.
KETUA KAUM PERLU BERWIBAWA
Penulis tertarik dengan komen seorang warganet pasal ketua kaum di sebuah kampung yang bertanya dimana nak minta bantuan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 dahulu, sedangkan dia sendiri patut tampil bertanya kepada pihak pejabat daerah atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk orang kampung dibawah jagaannya.
Seperti kata Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) harus mempunyai kewibawaan dan ciri kepemimpinan yang baik serta dihormati dalam masyarakat. Ini kerana mempunyai akhlak dan budi pekerti yang baik, membuatkan seseorang KMKK dihormati dan dipercayai.
“Ketua masyarakat juga adalah tempat orang kampung meminta nasihat dan berbincang mengenai masalah yang mereka hadapi. Bagi orang kampung, pelantikan seseorang ketua masyarakat yang bertanggungjawab adalah penting kerana mereka umpama ‘wakil rakyat’ mereka di peringkat akar umbi. Mereka ini boleh membawa segala permasalahan orang kampung kepada pihak berwajib dan agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.
Ahmad Johnie berkata memang tidak dapat dinafikan bahawa wakil rakyat mempunyai tanggungjawab yang penting dalam memastikan segala masalah dihadapi oleh orang kampung dapat diatasi. Katanya, segala projek infrastruktur dalam kampung seperti jalan raya bersimen, jalan titian, naik taraf sistem perparitan, bina baru dewan masyarakat, masalah bekalan air, elektrik, masalah jaringan Internet dan sabagainya perlu dimaklum dan dikemukakan kepada wakil rakyat selain agensi kerajaan yang relevan.
Beliau berkata ini belum lagi mengenai keperluan dana untuk JKKK, PIBG, persatuan yang ada dalam sesebuah kampung bagi mengadakan pelbagai program dan aktiviti dalam komuniti. “Semua ini memerlukan dana yang disumbangkan oleh wakil rakyat. Oleh itu, seseorang yang menjadi ketua masyarakat tiada pilihan melainkan harus mempunyai hubungan yang baik dengan wakil rakyat dan sentiasa berhubung dengan wakil rakyat untuk kepentingan penduduk kampung yang diwakilinya,” katanya.
Sebenarnya, sistem mewujudkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum adalah sistem pentadbiran yang wujud sejak zaman Rajah Brooke, termasuk kewujudan jawatan Residen Bahagian yang tiada di Semenanjung Malaysia. Sistem ini kekal sehingga sekarang. Tiada negeri lain di negara ini mempunyai jawatan bagi ketua masyarakat seperti temenggong, pemanca, penghulu dan tuai rumah.
Sebab itulah, kerajaan Sarawak pernah menolak arahan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (2018-2020) yang mahu memperkenalkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kerana sistem kewujudan KMKK di negeri ini sentiasa menjadi konsep pentadbiran di Sarawak.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.