KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan mengenai dua kes disahkan positif jangkitan mpox.
Kes pertama disahkan pada 26 Julai lalu, melibatkan seorang lelaki warga asing yang telah tinggal dan bekerja di Malaysia sejak April 2022.
Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang melaporkan kes mpox pada 6 Julai lalu dan kembali semula ke Malaysia 10 Julai lalu.
Beliau mula menunjukkan gejala 19 Julai lalu dan lepuh mula muncul 23 Julai lalu.
Beliau telah menjalani isolasi dan dibebaskan 10 Ogos lalu setelah pulih sepenuhnya tanpa komplikasi.
Beliau disyaki mendapat jangkitan semasa berada di luar negara iaitu negara yang melaporkan kes mpox.
Kes kedua pula adalah kontak kepada kes mpox pertama atau kes indeks melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang mengalami gejala semasa dalam kuarantin kerana merupakan kontak kepada kes positif mpox.
Beliau telah diarahkan menjalani kuarantin sejak 27 Julai lalu dan disahkan positif mpox 29 Julai lalu. Beliau masih dalam tempoh isolasi dan dalam keadaan sihat.
Semua kontak bagi kes pertama telah dikenalpasti dan status kesihatan mereka telah dipantau. Tiada yang mengalami gejala jangkitan mpox kecuali kes kedua seperti dinyatakan di atas. Kes kedua tidak mempunyai sebarang kontak rapat.
Mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox.
Jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox. Tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara 5 ke 21 hari dari tarikh pendedahan kepada jangkitan.
Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya. Lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.
Semua pengembara yang tiba dari negara-negara melaporkan mpox dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan mpox bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.
Gejala-gejala mpox adalah seperti demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian-bahagian tubuh yang lain.
Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.
Semua pengamal perubatan diminta untuk peka terhadap individu dengan gejala lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi (key population).
Sejarah risiko kontak rapat dengan individu bergejala jangkitan mpox perlu didapatkan.
Bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah/serum boleh dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox.
Pada masa ini, terdapat 10 makmal menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan mpox; iaitu lapan (8) makmal kerajaan dan dua (2) makmal swasta.
Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke pejabat kesihatan berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah kawalan dapat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah. – Bernama