SEGAMAT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan perkhidmatan kesihatan di Sabah dan Sarawak, khususnya dari segi infrastruktur, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, pihaknya mengambil perhatian aduan serta masalah berhubung perkhidmatan kesihatan di kedua-dua negeri itu, termasuk insiden terbaru membabitkan seorang warga emas dari Lawas yang dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Miri, Selasa lepas.
“Sebenarnya, kita memang maklum tentang masalah-masalah perkhidmatan kesihatan di Sabah dan Sarawak dan kita juga sudah tengok apa yang berlaku di Lawas.
“Ia berkaitan infrastruktur, perjalanan ke hospital dari Lawas ke Miri sangat jauh, kena lalui beberapa tempat pemeriksaan, jadi itu antara beberapa perkara yang kita akan cuba tingkatkan,” katanya selepas melawat Hospital Segamat di sini.
Menurut laporan media tempatan, dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, ambulans tidak dapat melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh di Miri kerana tiada sesiapa di pintu pagar kompleks berkenaan.
Zaliha berkata, usaha menambah baik perkhidmatan kesihatan itu juga memerlukan kerjasama bersepadu agensi kerajaan lain.
Dalam pada itu, katanya, beliau akan meneliti 13 projek “sakit” di bawah KKM dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Kita kena tengok satu persatu apa sakitnya, kemudian kita teliti setiapnya. Kita kena tengok aduannya dan diagnos dan baru kita boleh buat sesuatu untuk atasi masalah itu,” katanya.
September lepas, bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, usaha sedang dilakukan dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya bagi mempercepatkan pelaksanaan projek terbabit atau menerusi proses pelantikan kontraktor penyelamat.
Dalam isu berlainan, Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, bangunan tambahan Hospital Segamat bernilai RM90.5 juta bakal beroperasi awal tahun depan.
Katanya, bangunan yang mula dibina pada 2018 itu dilengkapi empat dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) serta Unit Hidrodinamik dan Respiratori (RHU) yang dapat menampung keperluan 223,000 penduduk di daerah ini.
“Dengan kemudahan yang disediakan di blok tambahan ini, Hospital Segamat akan dapat memperluaskan lagi perkhidmatannya, sekali gus menampung keperluan penduduk di daerah ini,” katanya. – BERNAMA