Ramai yang seronok melihat kebun bunga-bungaan atau sayur-sayuran orang lain dan ingin mencipta kebun sendiri di halaman rumah. Namun satu yang menjadi kekangan, mereka tidak sanggup mengeluarkan belanja besar untuk membina prasarana kebun, terutama membeli pasu atau bekas menanam yang lain.
Sebenarnya, jika kreatif dan rajin, anda tidak perlu berbelanja besar untuk menyediakan bekas tanaman kerana ada banyak bahan terbuang yang boleh dikitar semula bagi tujuan berkenaan.
Bahan buangan dapur atau bahan buangan industri, semuanya boleh ditukar menjadi bekas tanaman yang kukuh dan cantik. Antara yang biasa digunakan termasuklah kayu palet, tayar, bekas minyak masak, botol minuman, bekas cecair pencuci, baldi, besen dan banyak lagi.
Dengan sedikit kerajinan dan kreativiti, akan terhasillah produk baharu yang bukan sahaja mesra alam, selamat dan diyakini, malah tidak kalah cantiknya dengan pasu atau bekas tanaman yang ada di pasaran.
Kayu palet misalnya, boleh dijadikan rak pasu bunga untuk menghiasi ruang dalam atau luar rumah. Malah kayu palet itu sendiri boleh dijadikan bekas tanaman, Cuma jangka hayatnya mungkin tidak panjang jika terdedah kepada air dan cahaya matahari.
Kelebihannya kayu palet ialah ia murah, malah boleh didapati secara percuma jika rajin mengumpulnya di tempat-tempat buangan industri.
Bahan buangan dapur pula memang boleh didapati dengan mudah, sama ada dari dapur sendiri atau dari tong sampah orang lain.
Bukankah sekarang ini kita digalakkan mengitar semula apa sahaja buangan bagi menyelamatkan alam sekitar? Maka memang tepat sekali jika barangan buangan dapur ini digunakan semula untuk projek pertanian kecil-kecilan di halaman rumah.
Jika tidak kreatif, tidak mengapa kerana apa yang penting ialah bekas ini dapat menampung tanaman sehingga ia mengeluarkan hasil atau dapat dituai.
Ada banyak sayur-sayuran yang boleh ditanam dengan menggunakan bekas-bekas kitar semula ini seperti bunga, sayuran berdaun, cili, tomato, herba dan sebagainya.
Dengan cara ini kita bukan sahaja boleh menjimatkan perbelanjaan dapur tetapi dalam masa yang sama mendapat manfaat lain seperti terapi minda dengan berkebun.
Jadi apa tunggu lagi, ciptalah taman bunga atau kebun sayur-sayuran anda sendiri dari bahan-bahan terbuang ini dan lihatlah sendiri kesannya.
Dengan kos yang murah, anda boleh mengubah halaman menjadi kebun bunga dan kebun sayur dengan pelbagai kelebihan sampingannya.
Oleh HAINI DARANI