
EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Erling Haaland menegaskan Norway perlu bersikap realistik terhadap kemampuan mereka di Piala Dunia selepas mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik menerusi kemenangan 3-2 ke atas Senegal pada 8.00 pagi tadi (waktu Malaysia).
Haaland meneruskan rentak cemerlangnya apabila menjaringkan dua gol selepas turut meledak dua jaringan dalam kemenangan pembukaan 4-1 ke atas Iran, sekali gus membantu Norway mencatat kemenangan berturut-turut buat kali pertama dalam sejarah penyertaan negara itu di Piala Dunia.
Norway kini hanya tewas sekali dalam 18 perlawanan terakhir dan bakal berdepan naib juara Piala Dunia 2022, Perancis, di Boston pada Jumaat bagi menentukan juara Kumpulan I.
Bagaimanapun, Haaland mengingatkan agar pasukannya tidak terlalu hanyut dengan kejayaan awal selepas memulakan kempen dengan cemerlang dalam penampilan pertama mereka di Piala Dunia sejak 1998.
“Jika bercakap mengenai kelayakan ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 28 tahun dan mara melepasi peringkat kumpulan, saya akan katakan ya.
“Tetapi untuk memenangi Piala Dunia, sudah tentu tidak,” kata Haaland.
“Kami kini mencatat 12 kemenangan berturut-turut dalam perlawanan kompetitif. Saya sebahagian daripada sesuatu yang istimewa, mencipta sejarah, dan saya amat berbangga menjadi rakyat Norway.”
Dalam kejohanan kali ini, penyerang Manchester City itu berkongsi kedudukan dengan Kylian Mbappe sebagai penjaring kedua terbanyak dengan empat gol, hanya satu jaringan di belakang Lionel Messi yang telah menjaringkan kesemua lima gol Argentina setakat ini.

Messi turut mencipta sejarah apabila muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 18 gol.
Sementara itu, Haaland meningkatkan jumlah jaringannya di peringkat antarabangsa kepada 59 gol dalam hanya 52 penampilan.
“Saya fikir itu adalah kepakaran saya, menjaringkan gol.
“Seperti perkara lain, saya sememangnya sangat baik dalam menjaringkan gol dan mungkin juga sedikit bernasib baik. Saya sendiri tidak tahu bagaimana saya melakukannya. Itulah hakikatnya,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Senegal, Pape Thiaw, masih menaruh harapan agar pasukannya dapat menewaskan Iraq dalam perlawanan terakhir bagi mengekalkan peluang mara ke pusingan kalah mati.
“Ia perlawanan yang sukar menentang pasukan yang banyak menyulitkan kami. Mereka sangat berkesan dan menjaringkan dua gol pada saat yang paling tidak sesuai.
“Selepas gol pertama, kami berjaya menyusun semula permainan, tetapi kemudian kami bolos sekali lagi. Kami perlu terus memberi semangat kepada para pemain kerana situasi ini bukan mudah,” katanya.
Beliau berkata Senegal kini perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan terakhir dan berusaha meraih tiga mata penuh.
“Kami perlu fokus kepada perlawanan terakhir ini dan memberikan segala-galanya untuk memperoleh kemenangan serta terus mengharapkan peluang.
“Ia memang sukar, tetapi perjuangan kami masih belum berakhir,” katanya. – AFP