
KUCHING: Sarawak menyatakan pendirian untuk akur terhadap sebarang keputusan rasmi berhubung cadangan penangguhan Sukan Malaysia (Sukma) 2026 yang dijadualkan berlangsung di Selangor pada Ogos ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setakat ini beliau hanya menerima maklumat awal mengenai cadangan penangguhan tersebut yang dikaitkan dengan situasi krisis di Asia Barat.
“Cadangan itu difahamkan datang daripada Sultan Selangor, namun masih belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan negeri Selangor mahupun pihak penganjur.
“Kita pun tidak tahu bila krisis itu akan tamat. Setakat ini maklumat yang saya terima adalah daripada media sosial dan laporan berita. Jadi agak sukar untuk saya memberi komen lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke di sini, semalam.
Abdul Karim berkata, Sarawak telah membuat pelbagai persiapan awal termasuk latihan atlet, persediaan kontinjen negeri serta urusan logistik dan penginapan di beberapa lokasi di Selangor dan Negeri Sembilan.
Katanya, Sukma kali ini melibatkan penganjuran di beberapa daerah sebagai lokasi pertandingan, sekali gus memerlukan perancangan awal termasuk lawatan ke lokasi penginapan seperti hotel dan homestay.
“Kita sudah melawat beberapa lokasi termasuk kemudahan penginapan bagi kontinjen Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya keputusan rasmi dibuat untuk menangguhkan temasya tersebut, Sarawak akan akur kepada ketetapan berkenaan walaupun telah melibatkan perbelanjaan serta persiapan awal yang besar.
“Kita akur sahaja jika itu keputusan yang dibuat. Ramai atlet kita sudah bersedia, ada yang sedang menjalani latihan di luar negara. Sudah tentu kita rasa sedih jika ia ditunda,” katanya.
Namun begitu, beliau menegaskan keputusan muktamad perlu dibuat oleh kerajaan negeri Selangor, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara berdasarkan keadaan semasa.
Oleh Adele Rissa